KKD, telco bincang turun harga perkhidmatan

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat telco bagi menurunkan harga perkhidmatan telekomunikasi di negara ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telco melakukan kajian bagi memenuhi aspirasi rakyat yang inginkan perkhidmatan telekomunikasi lebih murah.

"Saya sedang bincang dengan SKMM dan telco apa yang boleh kita buat untuk kurangkan kos. Ramai anak muda harapkan harga internet dan talian lebih murah, jadi saya minta mereka kaji apa yang kita boleh lakukan sekarang.

"Mungkin dalam minggu yang akan datang saya ada pengumuman khas,” katanya dalam slot program ALFA yang bersiaran di Facebook Nasional FM pada Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud.

Selain itu, Fahmi berkata, beliau juga sedang meneliti langkah terbaik yang boleh dilakukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengatasi isu capaian rangkaian 4G dan 5G yang dihadapi di sesetengah kawasan di negara ini.

"Kita sedang bercakap tentang 5G, ada negara lain dah mula bincang tentang 6G. Jadi kita kena ada pergerakan yang lebih cepat dan sebagai menteri saya kena teliti apa yang boleh dilakukan untuk bantu proses itu,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan penghasil kandungan (content creator) di pelbagai platform sosial media supaya menghormati undang-undang negara ini ketika berkarya.

Artikel Berkaitan:

"Ada batas-batasnya. Kita raikan hak untuk bersuara, raikan hak untuk berekspresi tapi kita perlu hormat undang-undang kerana ada di dalam Rukun Negara...Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang,” katanya.

Sementara itu, ketika bercakap di program 'Face to Face' di Traxx FM, Fahmi berkata pentadbiran baharu di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serius dalam menangani isu keselamatan siber dan perlindungan data di negara ini.

Menurutnya beliau akan mengadakan pertemuan dengan penyedia media sosial dan peruncit dalam talian berhubung perkara ini.

"Data peribadi adalah unik, apabila kita faham tentang perkara itu kita tidak akan mudah mendedahkan data kita.

"Sebab itu, saya akan mengadakan libat urus dengan Meta, TikTok dan Twitter serta peruncit dalam talian bagi memastikan mereka bergerak seiring dengan masa. Mereka juga perlu memahami bahawa pentadbiran ini serius tentang keselamatan siber serta perlindungan data dan mereka juga tertakluk kepada kepada undang-undang tempatan," tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!