Pemandu maut lori terbabas langgar pokok sawit
LIPIS - Seorang pemandu maut manakala kelindan cedera selepas lori dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pokok kelapa sawit di Kilometer 8, Jalan Sungai Koyan-Raub di sini pada Khamis.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu lori terbabit, S Tharvin, 23 yang mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, penumpang lori, R Ravichanran, 23 yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki dihantar menerima rawatan ke hospital sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori jenis Isuzu membawa muatan kotak kosong itu dalam perjalanan dari Kluang, Johor ke Cameron Hinglands.
"Ketika tiba di lokasi, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan melanggar pokok kelapa sawit lalu terbalik.
"Siasatan mendapati kemalangan berlaku akibat terbabas sendiri dan tidak melibatkan kenderaan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!