Exco Melaka cadang naik tarif air
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) perlu melalui proses penambahbaikan dengan cadangan kenaikan tarif bekalan air di negeri ini.
Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Zaidi Attan berkata, cadangan itu supaya sistem pengagihan air serta mengurangkan masalah air tidak terhasil (NRW) dapat dinaik taraf untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa masalah bekalan air.
Menurutnya, sejak 13 tahun lalu Melaka tidak pernah menaikkan tarif air yang sehingga sekarang kekal 65 sen per liter kubik berbanding kos operasi menghasilkan air bersih sebanyak RM1.45 per liter kubik.
Katanya, situasi itu menyebabkan SAMB terpaksa beroperasi dalam kerugian sekali gus menyukarkan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikkan sistem perpaipan.
"Saya beri pandangan untuk kita melakukan reformasi tarif air termasuk kehilangan NRW lebih kurang 30 peratus akibat sistem perpaipan yang uzur dan perlu ditukar.
"Kita perlu buat sesuatu untuk menaikkan semula tarif air sesuai keadaan semasa agar kerja-kerja penyelenggaraan yang telah dikenal pasti dan dijadualkan dapat dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Seah Shoo Chin (PH-Kesidang) pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Rabu.
Ketika menjawab soalan tambahan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh), Zaidi berkata, Melaka pernah diiktiraf sebagai negeri dengan NRW terendah di peringkat kebangsaan pada tahun 2016 dengan merekodkan NRW sebanyak 18 peratus.
Menurutnya, pengurangan NRW itu dilaksanakan menerusi kerja-kerja penggantian sistem perpaipan membabitkan kos bernilai RM65 juta.
Jelasnya, sekiranya SAMB mahu mengekalkan perkara itu, ia perlu dilakukan pengurusan perbelanjaan yang setimpal memandangkan kebanyakan sistem perpaipan di negeri ini telah berusia lebih 30 tahun.
"SAMB kurang berkemampuan perbelanjaan sendiri tanpa ada pendapatan baharu jika hendak lakukan eksesais sama.
"Jika mahu laksanakan juga, Melaka terpaksa pinjam kepada perbadanan aset air untuk selesai masalah NRW," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!