'Terima kasih TPM'
RANTAU PANJANG - Tindakan kerajaan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM12 juta untuk mengatasi masalah banjir termenung yang melanda di sini disambut baik oleh mangsa banjir.
"Terima kasih Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawakan khabar gembira kepada kami.
"Diharap isu banjir termenung dapat diselesaikan dengan kadar segera," demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang (JKBRP), Norhisham Abdullah kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, dengan adanya pam air tersebut diharap dapat meredakan kemarahan serta kepenatan mereka yang terpaksa berdepan banjir termenung bukan seminggu tetapi lebih dari itu setiap kali hujan lebat.
Ujar Norhisham, walaupun begitu mereka berharap pihak kerajaan juga dapat melihat dari sudut aspek lain seperti menambah bilangan pembentung bagi memudahkan aliran air ke Sungai Golok.
"Setakat ini baru ada empat pembentung dan pada November lalu kami ada membuat laporan polis mendesak pintu air dibuka dalam tempoh 24 jam bagi mengatasi masalah banjir termenung.
"Alhamdulillah apabila ia dibuka, banjir kali ini air naik tidak mendadak seperti sebelumnya," katanya.
Menurut dia, diharap isu banjir termenung dan tebatan banjir dapat diselesaikan segera dan penduduk di sini dapat menikmati kehidupan dengan tenang.
Norhisham memberitahu, mereka sudah lama tidak tidur lena sejak isu ini berlaku, malah sering trauma apabila hujan lebat.
"Diharap Kerajaan Perpaduan dapat menyelesaikan isu ini dan doa kami dimakbulkan," katanya.
Sinar Harian melaporkan kerajaan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM12 juta untuk mengatasi masalah banjir termenung yang melanda di kawasan Rantau Panjang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu melibatkan pembelian pam berkuasa tinggi untuk menyedut keluar air dari kawasan yang terkesan dengan banjir termenung.
"Kita akan tempatkan di enam lokasi yang telah dikenal pasti bagi mengatasi masalah ini," katanya semasa sidang akhbar semasa mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!