Terpalit kluster mahkamah, Shahrir mohon kes dipercepatkan
KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, supaya prosiding kesnya, gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) lapan tahun lalu, dipercepatkan.
Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, Shahrir, 73, yang diwakili peguam, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros berkata, kes tersebut disiasat sejak September 2019, sekali gus menyebabkan nama anak guamnya terpalit sebagai kluster mahkamah.
"Siasatan hanya mengambil masa empat bulan sedangkan anak guam saya sengsara menanggung stigma masyarakat, apabila kes ini memakan masa selama tiga tahun.
"Shahrir terpaksa turun naik mahkamah walhal beliau sepatutnya berada disisi anak perempuannya yang menghidap tumor," katanya.
Semasa bersidang, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi memberitahu mahkamah bahawa, saksi pendakwaan ke-22, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Nurzahidah Yacop, tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sakit.
Rasyidah Murni: Pihak pendakwaan tidak berniat untuk melengah-lengahkan prosiding namun keadaan kesihatan saksi tidak seharusnya dipandang ringan.
Syed Faisal Al-Edros: Kami menghormati permohonan penangguhan itu malah tidak pernah memandang mudah isu kesihatan saksi, kerana Shahrir turut mempunyai anak yang menghadapi masalah kesihatan maka kami memerlukan pertimbangan mahkamah.
Muhammad Jamil kemudiannya menangguhkan prosiding pada Khamis dan menetapkan ia disambung semula pada 22 dan 23 Disember serta 5 Januari 2023.
Pada 21 Januari 2020, Shahrir, 73, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Perbuatan didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!