[VIDEO] Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan diaktifkan

Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dalam masa terdekat.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keanggotaan MPPK melibatkan pemegang taruh dalam bidang pendidikan seperti ahli akademik, bekas pegawai kanan kerajaan, guru dan orang perseorangan.

"Buat masa sekarang nama ahli anggota majlis belum dimuktamadkan dan prosesnya akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya semasa sidang akhbar khas di kementeriannya pada Khamis.



Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Menurutnya, MPPK akan menyumbang idea dan pandangan kepada KPM dalam merangka serta menambah baik hala tuju pendidikan negara.

"Perkara ini termasuklah memikirkan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada tahun 2025. Pendekatan lebih holistik

melalui proses konsultasi dan musyawarah dengan rakan strategik serta semua pihak yang berkepentingan akan diambil.

"Langkah ini bagi memastikan keseluruhan ekosistem pendidikan dilaksana mengikut proses yang ditetapkan dan berlandaskan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan yang berkaitan," katanya.

Fadhlina turut mengalu-alukan orang ramai untuk mencadangkan nama individu yang dirasakan sesuai dan layak menganggotai MPPK.

"Mereka boleh mencadangkan nama-nama tersebut menerusi saluran rasmi kementerian," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu memberi jaminan bahawa kementerian akan meneruskan dasar pendidikan sedia ada selain melakukan penambahbaikan proses penyampaian bagi menjamin kecekapan dan keberkesanannya.

Artikel Berkaitan:


"Saya mendapati ada beberapa penambahbaikan daripada aspek proses penyampaian dan perkhidmatan pendidikan yang perlu dilaksanakan.

"Aspirasi KPM sudah cukup jelas, oleh itu setiap perkara yang hendak diputuskan perlu diteliti dan dikaji secara berhemah dan budaya ini akan terus dibawa oleh KPM," ujarnya.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM akan memberi tumpuan terhadap tujuh teras utama termasuk menjadikan komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap serta telus.

Beliau berkata, langkah tersebut bagi mengurangkan kesenjangan birokrasi dalam urusan guru dan murid maka aduan, cadangan dan pertanyaan boleh dikemukakan terus melalui pelbagai saluran rasmi yang disediakan KPM termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), AduBuli dan kaunter khidmat pelanggan.

“Saya akan pastikan laporan berkaitan akan diambil tindakan,” katanya.

Selain itu, beliau akan memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti, perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40.

Isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi turut ditekankan. Kebajikan guru, ubahsuai dan menaik taraf sekolah serta meningkatkan keupayaan pendidikan digital antara fokus diberikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!