Kes demam denggi turun 3.3 peratus - Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kes denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-49 iaitu dari 4 hingga 10 Dis menunjukkan penurunan 3.3 peratus atau 1,871 kes berbanding 1,935 kes pada minggu sebelumnya, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, lima kematian akibat komplikasi demam denggi berlaku pada ME-49 melibatkan dua kes di Perak dan masing-masing satu kes di Selangor, Johor dan Sarawak.

Dalam satu kenyataan pada Khamis mengenai situasi demam denggi di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 60,110 kes berbanding 24,589 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan 144.5 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, 44 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

Selangor mencatatkan angka tertinggi kes iaitu 902 kes, diikuti Sabah (241), Kuala Lumpur dan Putrajaya (188) dan Johor (172),” katanya.

Katanya, 55 lokaliti titik panas dilaporkan pada minggu ini berbanding 53 lokaliti titik panas pada minggu sebelumnya dengan 26 lokaliti titik panas berada di Selangor, Sabah (21), Kuala Lumpur dan Putrajaya (lima) dan Pulau Pinang (tiga).

Menurutnya survelan chikungunya pula merekodkan 32 kes pada ME ke-49 dengan 23 kes di Pulau Pinang, tujuh di Selangor dan masing-masing satu kes di Kedah dan Pahang dengan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 763 kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!