MB nafi Perlis hadapi masalah kewangan
KANGAR - Kerajaan Perlis sehingga kini masih mampu diuruskan dengan baik dan tidak timbul isu bahawa kerajaan itu menghadapi masalah kewangan.
Menteri Besarnya, Mohd Shukri Ramli berkata demikian menjawab desas-desus kerajaan negeri pimpinannya menghadapi masalah kewangan sehingga tidak cukup untuk membayar gaji kakitangannya.
"Tak berbangkit isu ini, Perlis masih boleh di urus tadbir seperti biasa," katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Shukri menghargai komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus membantu pembangunan Perlis dalam pertemuan yang diadakan di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya pada Isnin.
Menurutnya, pertemuan dan perbincangan tersebut memfokuskan kepada hal pembangunan negeri Perlis.
"Perdana Menteri pun berjanji akan terus membantu (pembangunan di Perlis)," ujar beliau lagi.
Menurutnya, perbezaan politik di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perlis tidak akan menghalang hubungan dua hala yang akan terus diperkasakan demi kepentingan rakyat.
Mohd Shukri adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis merangkap Pesuruhjaya Pas Perlis selain penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang sejak tiga penggal lalu.
Anwar merangkap Menteri Kewangan dalam reaksinya pula seperti dipetik melalui laporan media juga mengharapkan semoga kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perlis terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!