5 hari tak tidur sebelum lari ke hutan
KUALA KRAI - Remaja lelaki yang hilang di hutan belakang rumahnya di Kampung Temalir, di sini, sudah lima hari tidak tidur sebelum kejadian Selasa lalu.
Norhisham Saifudin, 18, hilang selepas lari ke kawasan yang perlu melalui sebuah kebun getah itu pada jam 4.45 petang.
Ibunya, Rahaida Ghani@Hassan, 49, mendakwa anak keempat daripada enam beradik itu mengalami halusinasi selepas pulang bercuti di Kuala Lumpur.
“Dia tidak dapat tidur malam dan kerap memberitahu ada budak memanggilnya sambil menunjukkan ke arah kawasan yang tidak ada siapa-siapa pun.
“Dia juga bersiap-siap untuk keluar dengan membawa beg galas dan memberitahu ada orang sedang menunggunya,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Khamis.
Ujar penoreh getah itu lagi, Norhisham kebetulan hilang pada hari sama keluarga bercadang untuk membawanya ke hospital.
“Kami tak beritahu pun nak bawa dia ke hospital. Tiba-tiba sahaja dia keluar rumah.
“Ketika dipanggil oleh abang sulungnya, dia lari ke dalam hutan dan dikejar sejauh 100 meter namun terus hilang ke hutan,” katanya.
Menurut wanita itu, pencarian anaknya masih diteruskan oleh pasukan keselamatan dan dibantu oleh penduduk kampung.
“Keluarga mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi mendoakan dia ditemui selamat.
“Saya risau keadaan dia di dalam hutan entah makan atau tidak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sekitar jarak dua kilometer di hutan tersebut pada Khamis.
Operasi membabitkan 42 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!