Mangsa banjir Johor berkurangan
JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor semakin berkurangan setakat jam 4 petang Khamis apabila seramai 91 mangsa daripada 24 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan dua daerah.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memberitahu, pengurangan mangsa banjir itu selepas 84 orang melibatkan 25 keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas dan Taman Desaru Utama, Bandar Penawar di Kota Tinggi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"Mereka sebelum ini ditempatkan di PPS di Dewan Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Bandar Penawar," menurut kenyataan berkenaan pada Khamis.
Tambah kenyataan tersebut, mangsa banjir di Mersing melibatkan 23 orang melibatkan tiga keluarga dari Kampung Lubuk masih ditempatkan di PPS di Sekolah Agama Pangkalan Batu.
Di Segamat pula melibatkan 61 mangsa banjir melibatkan 17 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya.
"Semua mereka ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Batu Badak dan Balairaya Kampung Kuala Paya," kata jawatankuasa itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!