497 pelatih tamat latihan kepolisan
JEMPOL - Seramai 497 pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Siri 3/2022 berjaya menamatkan latihan masing-masing di Pusat Latihan Polis Air Hitam (Pulapol) di sini pada Khamis.
Ketua Polis Kelantan yang juga Pegawai Penerima Tabik Hormat program itu, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Program Latihan Asas Kepolisan (Konstabel) pada kali ini dilaksanakan kepada calon awam dan calon Peningkatan Secara Lantikan (PSL) yang diambil setelah melepasi syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan.
"Ia dijalankan berdasarkan kompetensi melalui tiga aspek utama dalam pembentukan sikap, kemampuan dan juga pengetahuan dengan merangkumi tiga modul utama iaitu Modul Transformasi, Pengurusan Kepolisan serta Program Transformasi Minda (PTM).
"Jadi, pelatih diingatkan supaya menjadikan ilmu pengetahuan yang diperoleh dari pusat latihan ini sebagai bekalan untuk bertugas di lapangan nanti selari dengan tiga fokus utama Ketua Polis Negara iaitu memperkasa integriti, memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan dan mendukung dasar serta usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Siri 3/2022 di Dataran Kawad Pulapol Air Hitam.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pelatih supaya berbangga dengan karier yang dipilih dengan menjunjung prinsip serta nilai-nilai murni Polis Diraja Malaysia.
Muhamad Zaki juga menyatakan penghargaan kepada ahli keluarga pelatih atas kerelaan dan keredaan melepaskan anak dan suami atau isteri masing-masing untuk memilih PDRM sebagai kerjaya.
"Pengorbanan ini amat besar ertinya kepada pasukan dan negara kerana bukan semua yang sanggup melihat anak atau suami atau isteri mereka berhadapan dengan risiko setiap hari," katanya.
Pada sesi kali ini 497 pelatih itu terdiri daripada 387 pelatih lelaki dan 110 pelatih wanita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!