Sindiket seleweng diesel bersubsidi tumpas

Jegan (kanan) bersama pegawainya menunjukkan 18 tangki plastik berkapasiti 1,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dirampas dalam satu operasi di Valdor, Simpang Ampat, pada Khamis. - Foto Bernama
Jegan (kanan) bersama pegawainya menunjukkan 18 tangki plastik berkapasiti 1,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dirampas dalam satu operasi di Valdor, Simpang Ampat, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang menjalankan kegiatan haram itu di sebuah ladang ternakan kambing dan lembu, di Valdor di Simpang Ampat, di sini pada Khamis.

Pengarahnya S Jegan berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak seminggu lepas termasuk membuat intipan dengan menggunakan dron di ladang ternakan yang berada di kawasan terpencil itu sebelum menyerbunya kira-kira jam 11 pagi Khamis.

"Semasa serbuan, terdapat seorang lelaki berusia 31 tahun sedang memindahkan minyak diesel bersubsidi dari tangki minyak lori tanah dipandunya ke tangki-tangki yang terdapat di ladang ternakan milik saudaranya itu. Lelaki itu merupakan pemandu lori tanah seberat 12 tan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tangki minyak lori tanah itu telah diubah suai dan mampu mengisi 400 hingga 500 liter berbanding tangki minyak biasa hanya 250 liter, dan lelaki itu akan mengisi diesel di beberapa stesen minyak sebelum membawanya ke ladang ternakan tersebut dan pindahkan ke tangki-tangki yang terdapat di situ," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini pada Khamis.

Katanya, sindiket itu seterusnya akan memindahkan diesel dari tangki-tangki minyak di situ ke sebuah lagi lori tiga tan yang telah diubah suai dengan empat tangki di bahagian belakang yang ditutup dengan kanvas sebelum menjualnya kepada pihak industri dengan harga yang lebih mahal berbanding subsidi.

Jegan berkata, siasatan mendapati sindiket itu telah menjalankan kegiatan penyelewengan diesel tersebut sejak beberapa bulan lepas dan mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Katanya, dalang sindiket itu iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun telah berjaya ditahan minggu lepas ketika sedang mengisi diesel ke dalam sebuah lori yang tangkinya telah diubah suai.

Lelaki yang kami tahan hari ini adalah pemandu lori tanah dan selalunya dia membawa tanah namun sejak seminggu lepas, suspek mengambil ubah membeli minyak diesel bersubsidi untuk sindiket tersebut dengan bayaran upah yang lumayan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas dua buah lori, 10,400 liter diesel bersubsidi, 18 unit tangki plastik yang boleh mengisi 1,000 liter minyak, pam dan hose pam yang kesemuanya bernilai RM92,560.

Menurutnya pihaknya kini sedang giat mengesan beberapa individu dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket penyelewengan diesel bersubsidi itu dan kes tersebut disiasat menurut Akta Kawalan Bekalan 1961. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!