Anggota polis maut digilis
SEPANG - Seorang anggota polis maut apabila motosikal yang ditunggang terbabas sebelum mangsa digilis kenderaan lain di Kilometer 37.7 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah utara di sini pada Khamis.
Mangsa dikenali sebagai Amirul Faiz Mohammad Ali berumur 31 tahun dan beralamat di Taman Sri Duyung, Melaka.
Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 6 pagi.
Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu menunggang motosikal jenis SYM dari arah Melaka menghala Jalan Duta, Kuala Lumpur.
"Mangsa dipercayai menunggang motosikal di lorong kanan dan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan.
"Mangsa kemudiannya terjatuh dan dipercayai digilis oleh kenderaan lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya bagi proses bedah siasatn dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!