Gagal seludup minyak masak peket ke Thailand

KPDN Kelantan merampas 3,264 kg minyak masak peket yang dipercayai mahu diseludup ke Thailand selepas memberkas pemandu dan dua kelindan lori di Kampung Longgel, Pasir Mas pada Rabu.
KPDN Kelantan merampas 3,264 kg minyak masak peket yang dipercayai mahu diseludup ke Thailand selepas memberkas pemandu dan dua kelindan lori di Kampung Longgel, Pasir Mas pada Rabu.
A
A
A

PASIR MAS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 3,264 kilogram (kg) minyak masak peket disyaki mahu diseludup ke Thailand selepas memberkas pemandu lori dan dua kelindan di sebuah rumah Kampung Longgel di sini pada Rabu.

Kesemua suspek berusia 30 hingga 50 tahun itu diberkas dalam serbuan pada jam 1 petang hasil Ops Membanteras Ketirisan Barang Kawalan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan anggota bertugas telah berjaya mengesan sebuah kenderaan pengangkutan mencurigakan membawa muatan barang kawalan bersubsidi dari syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi.

"Anggota bertugas kemudian bertindak mengekori lori itu dan berjaya menahan kenderaan tersebut.

"Pemeriksaan lanjut telah menemui minyak masak bersubsidi anggaran bernilai RM8,160," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut beliau, KPDN Kelantan percaya ketiga-tiga suspek menjadikan rumah tersebut sebagai tempat transit sementara.

Ujarnya, kesemua suspek ditahan untuk membantu siasatan berkait dengan aktiviti berkenaan.

Azman berkata, KPDN Kelantan memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini, seterusnya akan berhadapan dengan tindakan berat serta denda yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil KPDN selanjutnya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!