PM beri penghormatan terakhir kepada pengasas Public Bank
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis memberikan penghormatan terakhir kepada pengasas Public Bank Bhd mendiang Tan Sri Teh Hong Piow di Nirvana Center Kuala Lumpur, di sini.
Perdana Menteri tiba di pusat peringatan itu pada jam 4.50 petang dan menandatangani buku takziah sebelum meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama keluarga mendiang.
Anwar menerusi hantaran di laman Facebook rasminya sebelum ini menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar buat sektor perbankan dan negara.
Teh meninggal dunia pada jam 10.20 pagi Isnin pada usia 92 tahun.
Mendiang mengasaskan Public Bank pada 1965 ketika berusia 35 tahun.
Beliau dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah urusan bank itu sejak memulakan operasi perniagaan pada 6 Ogos 1966.
Teh melepaskan jawatan CEO dan dilantik semula sebagai pengerusi bukan eksekutif pada 1 Julai 2002 sebelum bersara pada 31 Dis 2018. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!