Dua lelaki diberkas buat laporan palsu dakwa disamun

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LANGAT - Dua lelaki diberkas dipercayai membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa samun dalam tangkapan berasingan di Banting di sini pada Khamis dan Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kedua-dua suspek diberkas berumur 36 tahun dan 27 tahun.

Menurutnya, kes pertama melibatkan seorang pemandu lori yang membuat laporan mendakwa disamun dua lelaki menaiki motosikal di hadapan kedai makan Jalan Bunga Pekan 2, Banting di sini.

"Suspek mendakwa dirinya disamun dua lelaki bersenjatakan parang dan mengakibatkan kerugian wang tunai berjumlah RM300 selain mendakwa dokumen- dokumen pengenalan diri dan buah telefon bimbit disamun dalam kejadian.

"Bagaimanapun suspek kemudian diberkas setelah siasatan mendapati laporan dibuat tersebut merupakan laporan palsu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, kes kedua melibatkan seorang operator kilang yang turut membuat laporan berkaitan kejadian samun di tepi jalan berdekatan lampu isyarat Bandar Mahkota Banting di sini.

"Suspek mendakwa disamun dua lelaki menaiki motosikal selain kerugian melibatkan barangan peribadi seperti dokumen- dokumen pengenalan diri.

"Suspek kemudian turut diberkas setelah siasatan mendapati laporan dibuat suspek itu palsu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak lima laporan palsu diterima pihaknya setakat ini.

"Siasatan mendapati mereka yang membuat laporan palsu ini kebanyakan mendakwa menjadi mangsa samun.

"Bagaimanapun, siasatan dijalankan mendapati kejadian tersebut sebenarnya tidak berlaku sebagaimana yang dilaporkan," katanya.

Ujar Ahmad Ridhwan, faktor utama laporan palsu ini dibuat adalah bertujuan untuk mengelakkan diri dari dikenakan denda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan.

"Masyarakat dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu demi kepentingan diri sendiri disebabkan oleh kecuaian.

"Membuat laporan palsu merupakan kesalahan dibawah peruntukkan undang-undang dan dituduh di bawah Seksyen 182 KK (Kanun Keseksaan) yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam (6) bulan atau denda maksimum RM 2,000.00 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!