Presiden UMNO: Siapa bakal cabar Ahmad Zahid?
PEMILIHAN parti melibatkan jawatan tertinggi UMNO yang akan diadakan dalam tempoh enam bulan ini mendapat perhatian ramai susulan prestasi buruk parti itu dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Siapa yang bakal menerajui UMNO melibatkan jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan tiga ketua sayap parti akan ditentukan oleh perwakilan menerusi bahagian masing-masing.
Perwakilan di peringkat bahagian ini terdiri daripada ketua UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri serta beberapa ahli lain dari semua cawangan. Bilangan perwakilan berbeza dengan mengambil kira jumlah ahli di cawangan.
Selain mengundi jawatankuasa bahagian yang baharu, mereka juga akan mengundi bagi memilih satu nama yang mewakili bahagian berkenaan untuk setiap jawatan tertinggi di pusat.
Berdasarkan rekod setakat Mac 2022, UMNO mempunyai seramai 3,391,236 ahli dengan 22,274 cawangan dan 191 bahagian di seluruh negara.
Sabah mencatat keahlian tertinggi iaitu 594,631 orang diikuti Johor (452,642), Selangor (426,109) dan Kedah (300,564).
Ahli tertinggi di bahagian adalah Lahad Datu (46,849), Semporna (40,849), Libaran (39,513), Gombak (38,437) dan Baling (37,249).
Jawatan Presiden UMNO menjadi tumpuan kerana terdapat beberapa pemimpin parti termasuk di peringkat bahagian yang mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur.
Kegagalan Ahmad Zahid mengepalai UMNO dan BN bagi memperbaiki prestasi pada PRU14 serta PRU15 menyebabkan akar umbi mahu parti melakukan pembaharuan di bawah pemimpin lain agar situasi sama tidak berulang.
Mendukacitakan apabila sejak kebelakangan ini, tindak-tanduk beberapa pemimpin utama parti turut dilihat seperti tidak sehaluan dengan presiden sehingga rakyat berpandangan dalaman UMNO sedang bergolak, malah ada yang dipecat kerana dikatakan suka mengkritik presiden serta parti.
Ketika ini bekas Ahli Parlimen Rembau yang tewas di Parlimen Sungai Buloh pada PRU15, Khairy Jamaluddin masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak.
Sementara itu ada pihak berpandangan, bekas Perdana Menteri yang kini Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar bertanding jawatan tersebut bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!