Santos-Portugal berpisah, Mourinho mungkin jadi pengganti
SELEPAS lapan tahun membimbing Portugal, Fernando Santos meletak jawatan sebagai jurulatih pasukan pada Jumaat.
Peletakan jawatan pengendali berusia 68 tahun itu juga ekoran kekalahan mengejut Portugal kepada Maghribi pada aksi suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 baru-baru ini.
Tercetus spekulasi bekas jurulatih Manchester United, Jose Mourinho disebut-sebut sebagai pengendali baharu Portugal.
Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF) dalam satu kenyataan menyebut persetujuan sudah dicapai dengan Santos untuk menamatkan pengembaraan kariernya bersama skuad kebangsaan yang bermula September 2014.
FPF menambah, mereka akan memulakan proses untuk memilih jurulatih kebangsaan yang baharu.
Akhbar sukan harian, Record mendakwa Mourinho menjadi sasaran utama FPF untuk menggalas jawatan itu sebelum bermula kelayakan Euro 2024.
FPF juga difahamkan sedia menerima perjanjian yang akan menyaksikan Mourinho mengendalikan pasukan kebangsaan secara sementara untuk membolehkannya kekal membimbing kelab Itali, Roma musim ini.
Mengulas khabar angin itu ketika dia tiba di selatan Portugal untuk kem latihan bersama Roma, Mourinho enggan memberi sebarang komen.
Kelayakan untuk Euro 2024 akan bermula pada Mac tahun depan.
Selain Mourinho, nama-nama lain yang berpotensi ialah jurulatih Portugal, Rui Jorge (skuad bawah 21 tahun) dan Abel Ferreira (Palmeiras),
Turut tersenarai adalah Paulo Fonseca (Lille), Rui Vitoria (Mesir) dan Jorge Jesus (Fenerbahce).
Mourinho, 59, tiada pengalaman melatih di peringkat antarabangsa tetapi mempunyai rekod mengagumkan dengan beberapa kelab gergasi Eropah.
Selain United, beliau pernah membimbing Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid
Mourinho melakar rekod baik apabila memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana bersama Chelsea, dua mahkota Serie A di Inter dan satu kejayaan La Liga di Real.
Dia juga membimbing Porto memenangi Liga Juara-Juara pada 2004 dan mengulangi kejayaan itu bersama Inter Milan pada 2010.
Pada Mei tahun ini, dia mengetuai Roma merangkul gelaran Liga Konfederasi Europa, trofi Eropah pertama untuk kelab itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!