Rakyat sambut baik program kebajikan anjuran TNB

A
A
A

Dalam tempoh 2018 hingga 2021, TNB mengagihkan sebanyak RM28 bilion untuk pelbagai pembiayaan termasuk peruntukan tanggungjawab korporatnya.
Dalam tempoh 2018 hingga 2021, TNB mengagihkan sebanyak RM28 bilion untuk pelbagai pembiayaan termasuk peruntukan tanggungjawab korporatnya.

SHAH ALAM - Tidak hanya dikenali sebagai syarikat penyedia bekalan elektrik di dalam negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memainkan peranan penting bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal terpelihara.

Pelbagai manfaat dinikmati oleh masyarakat Malaysia menerusi program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan, termasuk pemberian dividen dan biasiswa pendidikan kepada pelajar memerlukan.

Dalam tempoh 2018 hingga 2021, TNB mengagihkan sebanyak RM28 bilion untuk pelbagai pembiayaan termasuk tanggungjawab korporat yang meliputi pendidikan seperti pemberian biasiswa dan dermasiswa.

Bagi sektor ekonomi dan sosial, merangkumi antaranya bantuan pemilikan kediaman untuk golongan berpendapatan rendah (B40) menerusi Program Baiti Jannati dan Program Mesra Rakyat, alam sekitar meliputi penanaman pokok dan pemuliharaan habitat kelip-kelip serta sukan, khususnya penajaan program hoki negara.

Inisiatif yang diusahakan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) itu tidak hanya memfokuskan pada pembangunan ekonomi, malah turut menitikberatkan peranannya terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Reaksi: Apa kata orang ramai

Artikel Berkaitan:

MUHAMAD AL HARITH
MUHAMAD AL HARITH



“Saya bersyukur atas komitmen TNB yang terus memberikan pulangan setimpal kepada masyarakat menerusi pembayaran dividen yang tinggi kepada kerajaan dan bantuan melalui beberapa projek kebajikan khusus untuk pembangunan rakyat. Ini sekali gus menepis kritikan TNB hanya bermotifkan keuntungan semata-mata tanpa memberi semula kepada penggunanya.” - Pekerja swasta, Muhamad Al Harith Abd Salam, 27.

“Syarikat yang beroperasi lebih tujuh dekad itu banyak menyumbang dalam sektor pendidikan terutamanya pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan. Semua inisiatif yang dilakukan oleh TNB untuk membantu orang awam akan mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap syarikat ini.” - Pelajar UiTM, Nur Afiah Harizah Mohd Razlan, 23.

DAYANG FAZERA
DAYANG FAZERA



“TNB telah berjaya memperlihatkan sisi lain syarikat itu melalui projek CSR yang dilaksanakan. Saya harap TNB terus berkembang maju untuk membantu rakyat terutama pelajar dengan menawarkan biasiswa, sekali gus meningkatkan semangat mereka untuk mencapai cita-cita.” - Pelajar UiTM, Dayang Fazera Awang Simon, 22.

“Bantuan yang diberikan akan meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat terhadap syarikat utiliti itu. Dengan bantuan biasiswa dan dermasiswa itu, pelajar tempatan yang berpotensi boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, seterusnya melahirkan modal insan berkualiti.” - Atlet muay thai, Umar Ha Abdullah, 20.

NURSHAFAWATI MUNIRAH
NURSHAFAWATI MUNIRAH



“Saya harap TNB akan menubuhkan inisiatif atau program baharu bersesuaian dengan permasalahan yang dihadapi rakyat mengikut keadaan semasa. Ini bertepatan dengan objektif asal syarikat untuk mendekatkan TNB dengan rakyat, khususnya mereka yang kurang berkemampuan dan bernasib baik.” - Pekerja swasta, Nurshafawati Munirah Md Zin, 35.

NORDIN
NORDIN



“Peranan TNB dalam membantu rakyat hidup lebih selesa dalam keadaan kemelesetan ekonomi ketika ini wajar dijadikan contoh syarikat korporat lain. Misalnya, program Baiti Jannati yang membantu golongan miskin dan asnaf mempunyai rumah sendiri. Harapan saya supaya program sebegini diteruskan lagi.” - Pesara, Nordin Abdullah, 59.

UMI KALSOM
UMI KALSOM



“TNB tidak hanya menyediakan perkhidmatan elektrik kepada seluruh pengguna, tetapi berusaha untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Ia jelas menunjukkan komitmen mereka sebagai syarikat yang kukuh untuk memberi manfaat semula kepada rakyat.” - Suri rumah, Umi Kalsum Ehsan, 65.

“Usaha TNB ini wajar dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini. Saya harap TNB meneruskan semua program dan inisiatif yang sedia ada untuk ringankan beban rakyat. Kaji selidik peruntukan di bawah program CSR harus selalu dikemaskini bagi memastikan peruntukan sentiasa mencukupi.” - Pesara kerajaan, Nordin Darus, 62.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!