PPZ-MAIWP, MyIPO serah sumbangan berjumlah RM495,000
SHAH ALAM - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyerahkan sumbangan berjumlah RM495, 000 kepada Kolej Vokasional ERT Setapak (KVERTS).
PPZ-MAIWP dalam satu kenyataan memaklumkan sumbangan kewangan melalui dana wakalah syarikat MyIPO itu dihulurkan bagi pembinaan surau KVERTS untuk keselesaan murid dan guru-guru melakukan aktiviti ibadah dan keagamaan.
Menurut kenyataan itu, inisiatif pembinaan surau berkenaan bagi menggantikan sebuah kelas yang dijadikan surau untuk pelajar lelaki, manakala surau perempuan pula terletak di asrama serta mempunyai kapasiti yang terhad.
"Pihak KVERTS turut berhasrat agar surau yang dijangka siap pada awal 2024 itu dapat menjadi sebuah pusat komuniti untuk diadakan pelbagai aktiviti bersama para pelajar dan kakitangan," kata agensi itu.
Majlis sumbangan disempurnakan Pengerusi MyIPO, Datuk Seri Razali Ibrahim bersama Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman kepada pihak KVERTS di Setapak di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Razali berkata, pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat dilaksanakan untuk dinikmati masyarakat termasuklah membantu mangsa banjir Selangor dan Kuala Lumpur pada hujung tahun lepas dan awal tahun ini.
Pada masa sama, katanya, MyIPO turut membantu golongan asnaf fakir dan miskin di seluruh negara bagi meringankan beban mereka dalam menjalani kehidupan seharian menerusi pemberian barangan keperluan dan wang tunai.
“Adalah diharapkan dengan pembinaan surau ini nanti, akan memberi keselesaan kepada kakitangan, guru-guru serta pelajar kolej untuk melakukan ibadat serta aktiviti kerohanian.
"MyIPO juga berasa amat berbesar hati kerana menjadi penyumbang utama pembinaan surau ini", kata Razali.
Sementara itu, Abdul Aziz turut memuji keprihatian MyIPO kerana menyalurkan sumbangan yang amat besar sekali untuk menyediakan rumah ibadat yang selesa buat warga KVERTS.
“Syabas diucapkan kepada MyIPO kerana bayaran zakat yang ditunaikan melayakkan mereka mendapat pengembalian semula wang zakat atau Skim Wakalah untuk dimanfaatkan semula kepada mereka yang memerlukan dan salah satu daripadanya ada dengan pembinaan surau ini," katanya.
PPZ-MAIWP menyasarkan lebih banyak penglibatan syarikat-syarikat korporat menunaikan zakat dan menggalakkan kakitangan membuat potongan zakat di PPZ-MAIWP dan seterusnya layak menerima Skim Wakalah PPZ-MAIWP (pengembalian semula wang zakat).
“Kami amat mengalu-alukan kerjasama bersama pihak luar dalam membantu menguruskan dana wakalah yang diterima melalui program-program turun padang seperti hari ini.
"Semoga usaha kita pada hari ini dapat menyuntik hati orang ramai untuk turut menunaikan zakat di PPZ-MAIWP," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!