[VIDEO] 'Saya cuba selamatkan mangsa tertimbus, korek tanah dengan tangan'
HULU SELANGOR - Niat sebuah keluarga berkumpul untuk berkhemah beramai-ramai bertukar tragedi apabila tapak perkhemahan berkenaan dilanda tanah runtuh semasa kesemua mereka sedang tidur lena awal pagi Jumaat.
Salah seorang mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Chong berkata, semasa kejadian, dia dan keluarga sedang tidur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat seperti guruh.
"Kami berkhemah tiga hari dua malam dan hari ini baru nak balik ke Melaka. Kami ada dalam 15 orang termasuk saudara mara dan kawan berkhemah di sini.
"Semasa tanah runtuh saya dengar bunyi macam guruh, masa itu saya tengah tidur. Selepas kejadian saya cuba selamatkan mangsa yang tertimbus, saya korek tanah pakai tangan untuk selamatkan dua orang dari tapak kem lain," katanya ketika ditemui di Balai Polis Ulu Yam di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Tweh, 22, seorang lagi mangsa yang terselamat berkata, dia bersyukur terselamat namun bersedih kerana kehilangan salah seorang ahli keluarganya dalam insiden sekitar jam 2 pagi itu.
"Sebelum kejadian keadaan hujan renyai-renyai dan beberapa hari sebelum itu pun sama, kadang kala hujan turun sikit-sikit.
"Malam tadi saya tidur 'on' 'off' sahaja dan tiba-tiba dengar bunyi batu berguling sebelum khemah kami terangkat sehingga kaki naik ke atas," katanya.
Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan pihak bomba menganggarkan sekitar 100 mangsa dikhuatiri terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father's Organic Farm, Batang Kali, di sini awal pagi Jumaat.
Bomba Selangor dilapor berkata, sebanyak tiga buah jentera termasuk unit anjing pengesan (K9) dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, dan beberapa balai lain telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!