Tanah runtuh: Pahang hantar pasukan penyelamat, sukarelawan

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan segera menghantar pasukan penyelamat dan sukarelawan ke kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu diputuskan selepas menerima berita berhubung tragedi terbabit.

"Saya terkejut menerima perkhabaran berita mengenai tragedi tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor.

"Susulan kejadian itu, saya mengarahkan pasukan penyelamat dan sukarelawan dari Pahang untuk segera ke kawasan tragedi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook milik beliau pada Jumaat.

Sehubungan itu, Wan Rosdy menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk mengadakan sebarang aktiviti perkhemahan sama ada di kawasan tanah tinggi atau berhampiran sungai terutamanya pada musim tengkujuh bagi mengelakkan kejadian buruk daripada berlaku.

"Saya berdoa semoga kita semua dilindungi oleh ALLAH SWT daripada sebarang bentuk musibah dan malapetaka,” tulis beliau.

Sebelum ini, 13 mangsa disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan di Batang Kali setakat jam 11 pagi Jumaat manakala 22 mangsa masih hilang dengan jumlah mangsa yang terlibat seramai 94 orang.

Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan 1.2 hektar.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!