Rasuah Busters SIRIM Chapter dilancar

Ahmad Sabirin (tengah) bersama Hussamuddin dan Muhammad Nasir bersedia melepaskan peserta fun run SIRIM Green Day 2022 yang diadakan di Shah Alam pada Jumaat.
Ahmad Sabirin (tengah) bersama Hussamuddin dan Muhammad Nasir bersedia melepaskan peserta fun run SIRIM Green Day 2022 yang diadakan di Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - SIRIM Berhad (SIRIM) sama sekali tidak akan berkompromi isu integriti dan amalan rasuah sebaliknya tekad memerangi budaya jijik tersebut daripada terus membelenggu etika kerja tidak beramanah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, sebagai sebuah syarikat korporat yang berperanan besar mengendalikan sistem piawaian utama di negara ini, sudah pasti isu integriti menjadi agenda besar yang perlu didokong dan dipatuhi sepenuhnya agar keselamatan pengguna terus terjamin.

Beliau berkata, SIRIM sememangnya mengamalkan nilai integriti tinggi di dalam semua aspek tadbir urus supaya tidak berlaku sebarang isu ketirisan dan salah guna kuasa, seterusnya boleh mengakibatkan kerugian besar kepada perolehan negara.

Sehubungan itu kata beliau, bagi mengukuhkan lagi amalan integriti tinggi dalam kalangan petugas serta urusan syarikat, SIRIM melancarkan Rasuah Busters SIRIM Chapter menerusi kerjasama dengan pasukan Rasuah Busters yang bergerak memerangi budaya rasuah dan menolak amalan salah guna kuasa.

"Saya berharap usaha membentuk Rasuah Busters SIRIM Chapter di semua cawangan di seluruh negara akan dapat menjadi contoh dan standard bagi semua agensi kerajaan yang lain untuk membantu negara memerangi amalan rasuah.

"Semoga usaha seumpama ini dapat menjadi satu garis panduan buat semua pihak lain di luar sana untuk membentuk masyarakat berintegriti dan antirasuah

"Kita hendak pastikan apabila SIRIM berupaya melaksanakan perkara seumpama ini, ia juga akan dapat diikuti oleh ramai lagi agensi-agensi lain untuk melakukan usaha yang sama bagi memerangi rasuah secara habis-habisan," katanya kepada kru Rasuah Busters di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program SIRIM Green Day 2022 yang berusaha untuk mempromosi aspek Enviromental, Social and Governance (ESG) bagi menjaga bumi.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Sabirin
Ahmad Sabirin

Selain pelancaran SIRIM - Datanam Vertical Farming System, pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang program tersebut iaitu aktiviti zumba, fun run, pelancaran kempen 4R dan Solar Street Lighting serta aktiviti menanam pokok.

Hadir sama Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub; Penasihat Projek Rasuah Busters, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Pegawai Khas Pejabat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Ahmad Azmi Awang.

Mengulas lanjut, Ahmad Sabirin berkata, kerjasama bersama Rasuah Busters diharap akan menjadi usaha berganda dan tekad penuh syarikat membasmi amalan rasuah dan salah guna kuasa di semua cawangan SIRIM di seluruh negara.

Ahmad Sabirin (dua dari kiri) bersama (dari kiri) Muhammad Nasir dan Hussamuddin bergambar kenangan setelah melepaskan peserta fun run SIRIM Green Day 2022 yang diadakan di Shah Alam pada Jumaat.
Ahmad Sabirin (dua dari kiri) bersama (dari kiri) Muhammad Nasir dan Hussamuddin bergambar kenangan setelah melepaskan peserta fun run SIRIM Green Day 2022 yang diadakan di Shah Alam pada Jumaat.

Malah kata beliau, usaha yang dilaksanakan oleh SIRIM juga akan memberi kesedaran semua pihak agensi-agensi kerajaan terutama di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memerangi rasuah sehabis dan sebaik mungkin.

Sehubungan itu menurut beliau, semua agensi kerajaan perlu melibatkan diri menyokong usaha-usaha dilakukan oleh pasukan Rasuah Busters supaya budaya tidak bermoral itu dapat diperangi dan dihapuskan daripada terus membarah.

Tambahnya lagi, SIRIM juga mahu menjadikan amalan memerangi rasuah sebagai tabiat dan amalan baharu untuk dipraktikkan sepenuhnya dalam masyarakat, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas rasuah serta memperoleh manfaat besar daripada budaya baharu tersebut.

"Kita bukan sahaja mahu melihat perkara ini menjadi budaya baharu masyarakat Malaysia, tetapi juga disambut dan dijayakan oleh ahli politik dan kepimpinan negara untuk sama-sama terlibat memerangi rasuah sepenuhnya.

"Pemimpin yang baik adalah mereka yang melaksanakan apa yang diucapkan dan dijanjikan, bukan melakukan sesuatu kerana orang ramai tetapi kerana ALLAH SWT.

"Apabila kita mempunyai niat yang betul dan melakukannya hanya kerana ALLAH, pastinya kita tidak akan terbabas dan membuat perkara yang salah serta dilarang oleh-Nya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!