Lebih 20 guru SJKC Mun Choong, keluarga mangsa tanah runtuh
HULU SELANGOR - Lebih 20 guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong dan ahli keluarga mereka disahkan antara mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini pada Jumaat.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Mun Choong, U Chin Ong berkata, mengikut maklumat diterimanya setakat ini, beberapa guru yang berjaya diselamatkan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
Katanya, selain HKL, ada guru dipindahkan ke Balai Polis Hulu Yam Bharu untuk menerima rawatan oleh petugas HKL.
“Ada seorang guru wanita bersama bayinya masing-masing menangis ketika dirawat tadi.
"Mujur mereka hanya cedera ringan. Bekalan susu juga ada saya bawa untuk bayi itu,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Hulu Yam Bharu pada Jumaat.
Tambahnya, difahamkan guru terbabit bersama keluarganya datang berkhemah sempena cuti sekolah di kawasan terbabit selama tiga hari sejak Rabu lalu dan sepatutnya pulang pada pagi tadi (Jumaat).
Sementara itu, tinjauan di balai polis itu mendapati beberapa petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilihat membawa beberapa keperluan asas seperti makanan, pakaian, lampin dan selipar untuk mangsa yang ditempatkan sementara di balai polis terbabit.
Kelihatan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pemeriksaan tekanan darah selain membalut luka mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!