Tanah runtuh: Pasukan penyelamat tumpu 2 sektor tapak perkhemahan
HULU SELANGOR - Seramai 231 anggota pasukan mencari dan menyelamat kini memberi tumpuan terhadap dua dari tiga sektor kawasan tapak perkhemahan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, di sini, pada Jumaat.
Dua sektor berkenaan membabitkan Sektor A (Hilltop), Sektor B (Farmview) Sektor C (Riverside).
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, pada masa ini pasukan penyelamat memberikan tumpuan terhadap sektor A dan sektor B.
"Dua sektor berkenaan adalah yang paling terjejas iaitu dari atas bukit berhampiran terus menuju ke arah sektor A dan Sektor B.
"Manakala kawasan sektor C sedikit terjejas dan kita percaya kebanyakan mangsa yang belum ditemui adalah dari dua sektor berkenaan," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian, pada Jumaat.
Nor Hisham berkata, sehubungan itu tumpuan diberikan secara menyeluruh di lokasi berkenaan.
"Pada masa ini kita sentiasa mempertingkatkan jumlah keanggotaan yang memberi fokus mencari dan menyelamat serta memastikan keselamatan setiap anggota sekiranya terdapat kemungkinan berlakunya tanah runtuh lagi di kawasan ini," katanya.
Mengulas kronologi kejadian, Nor Hisham memaklumkan pada peringkat awal seramai 53 mangsa dapat diselamatkan dan dibawa keluar sehingga jam 9 pagi.
"Ini disusuli dengan penemuan tujuh lagi mangsa yang dikesan mengalami kecederaan sebelum seorang operator yang mengendalikan tapak perkhemahan ini ditemui selamat.
"Sehingga jam 11.30 pagi seramai 11 mangsa ditemui sudah meninggal dunia termasuk seorang kanak-kanak," katanya.
Beliau berkata dalam tempoh antara jam 11.45 pagi sehingga jam 1 petang pasukan penyelamat menemui lima lagi mayat mangsa.
"Sehingga jam 3 petang tadi, kesemua lima mayat mangsa terakhir dimasukkan ke dalam trak polis untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!