Mangsa banjir seluruh negara menurun
SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencatatkan sedikit penurunan apabila merekodkan sejumlah 2,295 orang setakat jam 4 petang Jumaat, berbanding 2,377 pada pagi hari yang sama.
Sehingga kini, lima negeri yang terjejas iaitu Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, melibatkan 707 keluarga.
Berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), 14 pusat pemindahan sementara (PPS) aktif dibuka di enam daerah.
Kelantan masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu seramai 2,006 orang melibatkan 632 keluarga yang kini ditempatkan di tujuh PPS.
Seramai 141 mangsa di Pahang pula kini ditempatkan di satu PPS yang melibatkan 36 keluarga, seterusnya di Johor, 91 mangsa daripada 24 keluarga kini berada di empat PPS yang disediakan.
Sementara di Terengganu, hanya sebuah PPS dibuka yang menempatkan 29 mangsa daripada lapan keluarga, manakala di Perak juga satu PPS dibuka dan menempatkan 28 mangsa daripada tujuh keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!