Ibu tiga anak ditahan mencuri, beri alasan desakan hidup

Mohd Haki (tengah) dan pegawainya menunjukkan wang tunai dan barangan yang dirampas daripada suspek.
Mohd Haki (tengah) dan pegawainya menunjukkan wang tunai dan barangan yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang ibu kepada tiga anak sanggup mencuri sebuah beg tangan milik seorang peniaga runcit di Pasar Besar Tanah Merah di sini pada Selasa kerana desakan hidup.

Suri rumah berusia 30-an itu pada awalnya mendapat 'durian runtuh' apabila terdapat dua utas rantai tangan dan tiga utas rantai leher di dalam beg tersebut yang kemudian digadai di sebuah kedai emas di Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, hasil tindakan pantas pihaknya berjaya menyelesaikan kes terbabit tidak sampai 24 jam apabila suspek berjaya ditahan di rumahnya di Salor, Kota Bharu pada jam 3 petang, Rabu.

"Pada Selasa jam 5 petang pihak kami menerima aduan daripada seorang peniaga runcit mendakwa beg tangan miliknya telah dicuri oleh seorang wanita.

"Hasil siasatan awal polis mendapati suspek menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Waja untuk ke Pasar Besar Tanah Merah dari rumahnya di Salor," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, suspek menjual kesemua barang kemas tersebut kepada seorang peniaga emas di Kota Bharu dengan nilai RM21,900.

Ujarnya, suspek mengaku melakukan pekerjaan tidak bermoral itu kali pertama kerana desakan hidup dan mempunyai anak yang masih kecil berusia 8 hingga 11 tahun serta suami hanya bekerja sendiri.

Artikel Berkaitan:

Mohd Haki (kiri) menunjukkan kereta Proton Waja yang dinaiki wanita tersebut.
Mohd Haki (kiri) menunjukkan kereta Proton Waja yang dinaiki wanita tersebut.

Mohd Haki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek direman mulai Khamis hingga Ahad ini.

"Masyarakat dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam menjaga barangan berharga dan tidak sesekali leka kerana ia akan memberi peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah.

"Selain itu semua pemilik premis kedai emas diingatkan supaya tidak membeli barang kemas daripada individu yang dilihat mencurigakan serta mengikut peraturan yang telah ditetapkan," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang pengedar dadah kecil-kecilan dicekup di Felda Kemahang Tiga di sini pada Isnin semasa memandu kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

Mohd Haki berkata, semasa cuba ditahan, suspek telah bertindak agresif dengan memandu secara melulu.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan turut dirampas ialah 70 biji pil kuda.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan pengedar kecil-kecilan di sekitar Kemahang," katanya.

Menurutnya, kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!