Agong, Raja Permaisuri zahir takziah keluarga mangsa tanah runtuh
Menerusi catatan di akaun Facebook rasmi Istana Negara pada Jumaat, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku serta berharap agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan berkenaan.
"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut catatan itu.
Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar operasi itu dilakukan secara rapi dan terancang.
"Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar dipermudahkan urusan dan usaha mencari serta menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap dapat diselamatkan dengan segera,” menurut catatan itu.
Setakat jam 1 tengah hari tadi, polis mengesahkan seramai 16 orang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada awal pagi tadi manakala 17 masih hilang dan 61 lagi berjaya diselamatkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!