Tanah runtuh: 14 lagi mangsa masih tertimbus

Keadaan kenderaan- kenderaan mangsa di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali. - Foto Bernama
Keadaan kenderaan- kenderaan mangsa di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali. - Foto Bernama
A
A
A

HULU SELANGOR - Seramai 18 mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, telah disahkan meninggal dunia dan dibawa keluar dari lokasi runtuhan setakat jam 5.30 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, seramai 14 mangsa masih tertimbus dalam runtuhan berkenaan.

Menurutnya, kemalangan berkenaan melibatkan seramai 94 orang mangsa di mana 61 selamat manakala 18 telah disahkan meninggal dunia termasuk empat orang kanak-kanak.

"Mangsa terbaru dikeluarkan sekitar jam 4.40 tadi, dan dalam setengah jam yang lalu kita menjumpai seorang lagi mangsa tetapi masih dalam proses untuk dibawa keluar.

"Kita mengalami kesukaran mengesan mangsa berikutan kedudukan mayat yang telah ditolak jauh dari tapak khemah oleh runtuhan tanah," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini pada Jumaat.

Norazam (kiri) bersama, Suffian (tengah) dan Mohamad Hanafe (kanan) semasa sidang media.
Norazam (kiri) bersama, Suffian (tengah) dan Mohamad Hanafe (kanan) semasa sidang media.

Hadir sama, Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah dan Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri.

Artikel Berkaitan:

Norazam berkata, pihaknya telah mengesan kedudukan mangsa ke-19 bagaimanapun usaha membawanya keluar sedang giat dijalankan.

Katanya, usaha menyelamat mangsa akan diteruskan sehingga kesemua mangsa yang tertimbus berjaya dibawa keluar melainkan jika cuaca tidak mengizinkan.

"Kita telah berbincang bahawa ops akan diteruskan selama 24 jam tetapi jika hujan kita akan berhenti serta merta.

"Anggota penyelamat telah disusun untuk bertugas secara bergilir-gilir sehingga kesemua mangsa ditemui," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!