Krisis Sudan belum selesai
KHARTOUM - SUDAN. Majlis Peralihan Tentera Sudan telah menahan beberapa anggota bekas kerajaan dan turut berjanji tidak akan menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang masih mengadakan protes duduk dan bantah yang sudah memasuki hari ke-10, hari ini.
Kumpulan demonstrasi terbabit dilaporkan telah berikrar akan meneruskan demonstrasi terbabit sehingga negara itu kembali berada di bawah pemerintahan awam.
Protes duduk dan bantah itu masih berhimpun di luar Kementerian Pertahanan di Khartoum selepas pemimpin veteran, Omar al-Bashir digulingkan pada Khamis lalu.
Dalam sidang media semalam, jurucakap tentera, Mejar Jeneral Shams Ad-din Shanto berkata, majlis tentera bersedia untuk melaksanakan apa yang dipersetujui kerajaan awam dan parti pembangkang.
"Kami tidak akan melantik perdana menteri. Mereka yang akan pilih sendiri, namun calon mestilah seorang tokok bebas. Kami mahu menubuhkan negara awam berdasarkan kebebasan, keadilan dan demokrasi," katanya merujuk kepada pembangkang dan kumpulan protes terbabit.
Menurutnya, tentera juga tidak akan menyuraikan ribuan penunjuk perasaan itu walaupun ada pihak mendakwa terdapat cubaan untuk mengusir mereka berikutan terdapat beberapa kenderaan tentera telah mengepung kawasan tersebut.
Difahamkan, langkah itu mungkin terpaksa diambil untuk memastikan aktiviti harian kembali berjalan seperti biasa dan mengelakkan kesesakan kerana sekatan jalan raya yang dibuat kumpulan tersebut.
Ketika ini, tentera Sudan turut berdepan tekanan negara Barat untuk menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam baharu.
Amerika Syarikat, Britain dan Norway menggesa majlis tentera dan pihak berkaitan supaya mengadakan perbincangan mengenai proses peralihan kepada pemerintahan awam.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka turut memberi amaran terhadap sebarang penggunaan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!