'Pasukan lebih penting'
PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps enggan dirinya dijadikan tumpuan walaupun berpeluang mencipta sejarah menjadi jurulatih yang memenangi dua kali Piala Dunia sekiranya berjaya menewaskan Argentina dalam perlawanan akhir pada Ahad.
Deschamps berkata, perkara lebih mustahak adalah memastikan Perancis berjaya memenangi Piala Dunia apatah lagi kemaraan pasukan itu disumbangkan oleh kecemerlangan semua pemain.
"Saya bukan perkara penting di sini sebaliknya pasukan. Sudah tentu saya bangga dan kami semua tahu bahawa berpeluang untuk mempertahankan kejuaraan di perlawanan akhir.
"Ia pencapaian yang sudah cukup baik. Kami akan melakukan segala yang boleh untuk memastikan kami bergembira pada Ahad nanti.
"Saya tidak memikirkan sangat mengenai diri saya. Saya gembira dengan fakta kami mempunyai kejayaan seperti ini," katanya.
Deschamps berpeluang melakar sejarah menjadi jurulatih memenangi dua Piala Dunia selepas era Perang Dunia ke-II seandainya mampu menundukkan Argentina Ahad ini.
Deschamps adalah pengendali keempat memimpin sebuah negara di final Piala Dunia berturut-turut selepas Vittorio Pozzo (Itali), Carlos Bilardo (Argentina) dan Franz Beckenbauer (Jerman Barat).
Pengendali berusia 54 tahun itu juga pernah beraksi untuk Perancis dan memenangi Piala Dunia 1998 dan Kejohanan Eropah pada tahun 2000.
Sebagai jurulatih, Deschamps memimpin Perancis ke final Euro pada 2016, namun tewas tipis kepada Portugal dalam masa tambahan.
Kemudian, dia membawa skuad Les Bleus itu ke final Piala Dunia 2018 dan berjaya menjulang kejuaraan selepas mengatasi Croatia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!