Bank Rakyat, Maidam lancar Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu

Mohammad Hanis (dua dari kanan) bersama Shaikh Harun (dua dari kiri) serta Ahmad Azrin (kiri) ketika majlis pelancaran Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu, baru-baru ini.
Mohammad Hanis (dua dari kanan) bersama Shaikh Harun (dua dari kiri) serta Ahmad Azrin (kiri) ketika majlis pelancaran Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bank Rakyat dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melancarkan Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu dalam usaha memacu pembangunan projek wakaf khususnya melibatkan sektor kesihatan bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, inisiatif itu merupakan kemuncak kerjasama strategik Bank Rakyat bersama Maidam dalam mendukung inisiatif myWakaf iaitu memberi fokus terhadap penyediaan saluran perkhidmatan perbankan di samping memartabatkan wakaf sebagai instrumen kewangan yang boleh memberi impak kepada pembangunan ekonomi negara.

"Bank Rakyat selaku bank peneraju bersama Maidam bagi tujuan pengurusan Dana Wakaf Maidam dan Bank Rakyat berhasrat mempertingkatkan aspek ketelusan, akauntabiliti dan kawal selia yang efektif dalam pengurusan kewangan dana wakaf.

"Ia sekali gus dapat memaksimumkan kutipan dana wakaf melalui saluran perbankan untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika majlis pelancaran Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu di Kampung Baroh Che Miah di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan dan Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat.

Menurut Mohammad Hanis, sebanyak RM1.47 juta dana wakaf menerusi sumbangan orang ramai berjaya dikumpul sehingga Oktober tahun ini.

Beliau memberitahu, dana wakaf yang terkumpul digunakan untuk membiayai kos membaik pulih Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu termasuk kos penyediaan kemudahan dan peralatan (mesin dialisis) yang secara keseluruhannya mencecah lebih RM644,000.

"Kita harap usaha ini dapat membantu meringankan bebanan golongan asnaf untuk membiayai kos rawatan yang semakin tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga sebagai langkah dan usaha murni kita untuk sama-sama membantu ummah yang memerlukan," ujar beliau.

Sementara itu, Shaikh Harun berkata, Pusat Hemodialisis Wakaf Terengganu dijangka dapat mengurangkan masalah kesesakan di hospital awam kerana dapat dimanfaatkan oleh lebih 500 pesakit buah pinggang di negeri itu.

"Pusat ini mula beroperasi secara rasmi pada 25 Oktober lalu dan boleh menampung seramai 18 pesakit buah pinggang dalam sehari.

"Antara keistimewaannya ialah berkonsepkan mesra ibadah dengan penyediaan ruangan solat, posisi kerusi

menghadap kiblat dan alunan bacaan al-Quran sebagai terapi kepada pesakit,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!