Polis buru suspek curi wang tabung masjid
ALOR SETAR - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang tular memecah masuk dan mencuri wang dari tabung derma Masjid Annur Felda Teloi Timur, Sik, pada Jumaat apabila perbuatannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada setiausaha masjid terbabit selepas dia membuat semakan rakaman video CCTV.
Beliau berkata, setiausaha masjid itu mendapati terdapat kesan habuk pada tabung yang terdapat di dalam masjid ketika dia tiba di situ pada jam 6 pagi.
"Susulan itu, pengadu telah memeriksa tabung masjid tersebut dan mendapati mangga pada tiga buah tabung telah dipotong dan duit syiling di dalam tabung tersebut telah hilang.
"Kemudiannya, pengadu telah memeriksa rakaman CCTV masjid tersebut dan didapati ada lelaki tidak dikenali yang telah mencuri wang tersebut dan melarikan diri," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Abdull Razak memaklumkan, suspek masih belum ditangkap namun usaha untuk mengesan suspek masih dijalankan.
Kejadian itu turut tular selepas rakaman CCTV memaparkan suspek yang memakai topi keledar memecah masuk dan mencuri wang dalam tabung, dimuat naik masjid terbabit dalam Facebook pada Jumaat.
Video berdurasi 1 minit 19 saat itu dimuat naik akaun Facebook Masjid Annur Felda Teloi Timur dengan kapsyen “Kejadian kecurian pecah tabung Masjid Annur Felda Teloi Timur pada 16.12.2022 masa lebih kurang pukul 2.50 pagi hingga 4.00 pagi".
Menurut keterangan video, kejadian itu melibatkan tiga tabung dengan kehilangan duit syiling.
"Nasib baik duit kertas dah ambil selepas solat Isyak," menurut kapsyen itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!