KSM bakal laksana pindaan waktu kerja fleksibel

V. Sivakumar
V. Sivakumar
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan Akta Kerja 1955 berkaitan waktu kerja fleksibel adalah antara perkara yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Beliau berkata, pindaan berkenaan juga termasuk dalam beberapa pelan lain yang dirancang oleh kementerian itu dan pihaknya sedang mendapatkan maklum balas daripada semua agensi berkaitan untuk mengetahui peranan serta fungsi setiap jabatan dengan baik.

"Saya juga sedang lihat semua dasar-dasar sedia ada dan apa sahaja yang akan saya laksanakan itu akan dibuat selepas saya mendapatkan input. Mungkin saya akan mengambil masa kira-kira seminggu lagi untuk mendapatkan informasi.

"Saya harap perkara itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke-29 sesi 2022-2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengulangi hasrat mereka untuk meminta kerajaan menaikkan gaji minimum penjawat awam daripada RM1,200 kepada RM1,800.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, cadangan tersebut telah diutarakan sejak tiga tahun lalu, namun keadaan pandemik COVID-19 dan pertukaran kerajaan menyebabkan ia tidak dapat diteliti secara sempurna.

"Kami mohon kepada kerajaan untuk melihat semula gaji minimum tersebut kerana jumlah gaji tersebut amat jauh ketinggalan.

"Oleh itu sempena penubuhan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kami cadangkan untuk lihat semula cadangan itu untuk meletakkan gaji minimum kepada RM1,800," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, lebih 2,000 penjawat awam dari pelbagai kesatuan seluruh negara hadir ke konvensyen yang dilaksanakan di SACC di sini, hari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!