Festival Kraf Johor sasar jualan RM7.5 juta
JOHOR BAHRU - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Kraftangan Malaysia menyasarkan jualan RM7.5 juta menerusi Festival Kraf Johor (FJK) 2022 di sini yang bermula 16 sehingga 26 Disember ini.
Ketua Setiausaha Motac, Datuk Saraya Arbi berkata, festival berkenaan yang berlangsung selama 11 hari di Angsana Johor Bahru Mall itu akan melibatkan lebih 217 usahawan kraf dari seluruh negara.
"Acara ini merupakan kali kesembilan sejak festival mula diperkenalkan pada 2011 dan merupakan acara pameran di bawah satu bumbung atau 'Marque Event' yang dinanti-nantikan masyarakat termasuklah usahawan, penggiat dan pencinta kraf serta pelancong.
"Objektif penganjuran FKJ 2022 adalah memberi peluang perniagaan dalam memasarkan produk kraf Malaysia, mempromosi produk usahawan serta mewujudkan kesedaran selain menanam minat pengguna terhadap seni kraf Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian FKJ 2022 di Angsana Johor Bahru Mall, pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Motac, Mohd Yusri Mohd Yusoff serta Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli.
Dalam majlis itu, Motac menganugerahkan Adiguru Kraf kepada penerima penggiat seni iaitu Salbiah Muhi yang menghasilkan Sulaman Keringkam, Crisna Mojupi (Sulaman Pis) dan Emis@Emmilianah Dahun (Sulaman Linangkit).
Saraya berkata, penganjuran festival itu dapat memberi limpah manfaat secara langsung kepada rantaian sektor pelancongan tempatan antaranya perkhidmatan perhotelan, penyedia makanan dan minuman, pengangkutan serta agensi pelancongan.
Ujarnya, berdasarkan statistik daripada Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini seramai 3.2 juta pelancong asing berkunjung ke negara ini.
Sementara itu, beliau berkata, usaha Motac dan Kraftangan Malaysia dalam meletarikan industri kraf membuahkan hasil apabila sehingga 30 November lalu, prestasi nilai jualan kraf keseluruhan berjumlah RM258.5 juta melebihi sasaran RM200 juta yang ditetapkan.
Menurutnya, kerajaan pada tahun ini juga memperuntukan RM6.8 juta baucar pembelian produk kraf sehingga dapat merekodkan nilai jualan produk kraf sebanyak RM26 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!