Pengangkat segmen MRT jatuh, cetus kebimbangan ramai

Keadaan pengangkat segmen yang terjatuh ke Sungai Gasi di tapak projek MRT Jalan Kuala Selangor.
Keadaan pengangkat segmen yang terjatuh ke Sungai Gasi di tapak projek MRT Jalan Kuala Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM- Pengangkat segmen (segment lifter) bagi projek Mass Rapid Transit (MRT) di tapak projek Jalan Kuala Selangor, di sini, terjatuh ketika kerja-kerja dijalankan melibatkan kawasan atas Sungai Gasi, dalam kejadian jam 11 malam Sabtu lalu.

MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd (MMC Gamuda), mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan media hari ini setelah gambar struktur berkenaan tular di media sosial dan menimbulkan kebimbangan orang ramai.

MMC Gamuda berkata, ketika kejadian pekerja tapak projek sedang bersedia untuk menggerakkan pengangkat berkenaan di sepanjang jambatan itu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku dalam kawasan tapak projek dan tidak menjejaskan kawasan awam serta tiada pekerja mahupun orang awam yang cedera dalam insiden itu.

“Tapak projek adalah di bawah kontraktor Sunway. MMC Gamuda, bersama Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), kini menjalankan siasatan untuk menentukan punca insiden dan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan insiden serupa pada masa akan datang.

“MRT Corp juga telah mengarahkan pemeriksaan menyeluruh dibuat terhadap pengangkat berkenaan,” katanya.

Tambah MMC Gamuda, pembinaan projek MRT adalah mengikuti prosedur keselamatan yang ketat.

“Bagaimanapun pemeriksaan dan prosedur keselamatan akan dikaji dan ditingkatkan di semua tapak pembinaan untuk projek itu.

Artikel Berkaitan:

“Pengangkat segmen berkenaan dijangka akan dialihkan malam ini bermula jam 10 malam hingga 6 pagi. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,”katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!