Pahang perlu semak semula pembangunan kawasan risiko
KUANTAN - Kerajaan Pahang digesa menyemak semula setiap projek yang dijalankan di kawasan berbukit, cerun dan lokasi berisiko tanah runtuh di negeri ini.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, langkah itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan tragedi tanah runtuh yang boleh menyebabkan kemalangan jiwa.
Menurutnya, langkah-langkah keselamatan perlu dititik berat dan menjadi keutamaan ketika musim tengkujuh.
"Setiap agensi dan jabatan berkaitan juga perlu melakukan pemeriksaan di setiap tapak projek di kawasan cerun berbukit.
"Pada masa sama, pengusaha lokasi percutian yang berada di kawasan berisiko tanah runtuh perlu peka dengan keadaan di sekeliling dan bertanggungjawab teehadap aspek keselamatan," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.
Young Syefura berkata, pengusaha perlu pastikan tiada rekahan atau tanda-tanda awal pergerakan tanah di kawasan sekeliling tempat percutian milik mereka dan sekiranya berlaku, segera melaporkan kepada pihak berkuasa.
"Begitu juga dengan kawasan-kawasan berisiko yang lain seperti kawasan pantai dan tepi sungai, pengusaha tempat-tempat percutian ini perlu peka dan tidak merisikonkeselamatan pengunjung demi keuntungan semata-mata," katanya.
Sementara itu, beliau turut berharap Jalan Batang Kali-Genting Highlands dibaik pulih dan dibuka semula dengan segera kerana jalan itu menjadi laluan utama bagi mereka yang tinggal di sekitar Batang Kali dan bekerja di Genting Highlands.
"Sekiranya jalan itu ditutup dalam tempoh masa yang lama, ia akan menyukarkan mereka untuk berulang-alik dari tempat tinggal ke tempat kerja.
"Laluan alternatif yang dicadangkan agak jauh dan mengambil masa lebih panjang selain kos perjalanan yang tinggi untuk tol dan minyak," katanya.
Terdahulu, beliau telah melawat kawasan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan yang terletak di Jalan Batang Kali - Genting Highlands.
"Saya doakan agar misi mencari dan menyelamat berjalan lancar dan semua dapat ditemui segera.Ucapan takziah kepada semua keluarga dan waris mangsa terlibat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!