Tanah runtuh: SAR diteruskan 7 hari jika mangsa gagal ditemui
HULU SELANGOR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan sehingga hari ketujuh jika baki mangsa tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting di sini tidak ditemui.
Setakat jam 2 petang, dua lagi mayat telah ditemui dan 10 mangsa lagi masih dilaporkan hilang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak polis untuk melanjutkan misi pencarian jika kesemua mangsa belum ditemui dalam tempoh tersebut.
Menurutnya, SAR akan dilaksanakan selama 24 jam yang lokasi pencarian meliputi tiga zon iaitu sektor A (kem hillview), B (farmview) dan C (riverside).
"Kita teruskan misi SAR selama 24 jam, namun akan ditangguhkan jika hujan lebat atau berlaku pergerakan tanah sehingga hari ketujuh.
"Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman kejadian runtuhan kuari di Perak, beberapa bulan baru jumpa mangsa. Kita akan sedaya upaya jejaki mangsa sehingga ditemukan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar 2.30 pagi Jumaat, seramai 91 mangsa terdiri pengunjung dan pekerja tapak perkhemahan terlibat dalam runtuhan tanah tersebut.
Setakat jam 2 petang, 61 mangsa ditemukan selamat, 23 meninggal dunia dan 10 mangsa lagi masih dilaporkan hilang.
Seramai 135 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi SAR dengan bantuan tujuh anjing pengesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!