TUDM galakkan penyertaan wanita sebagai juruterbang

Mohd Asghar Khan (tiga dari kiri) pada sidang media selepas Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap bagi Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 63/21 di Kolej Tentera Udara, di Alor Setar, pada Sabtu.
Mohd Asghar Khan (tiga dari kiri) pada sidang media selepas Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap bagi Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 63/21 di Kolej Tentera Udara, di Alor Setar, pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggalakkan pembabitan lebih ramai golongan wanita sebagai juruterbang TUDM untuk meningkatkan tahap profesionalisme, sekaligus mampu mendepani arus perdana dunia.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, peluang diberikan kepada wanita yang mengambil ijazah melalui Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atau dari luar yang berminat menyertai bidang itu.

"Ia terbuka dan tiada limitasi untuk kita (TUDM) mengambil (pelatih wanita). Hanya, kita mengambil lepasan ijazah tertentu mengikut keperluan TUDM.

"Sebagai contohnya, kita akan mengambil lepasan ijazah kejuruteraan ataupun komputer," katanya pada sidang media selepas Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap bagi Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 63/21 di Kolej Tentera Udara, di sini, pada Sabtu.

Bagaimanapun, Mohd Asghar berkata, pengambilan pelatih wanita sebagai juruterbang ini turut mengambil kira tahap kesihatan individu terbabit.

Beliau menjelaskan, tiada kekangan untuk golongan wanita untuk menjadi juruterbang TUDM meskipun jumlah mereka akan sedikit berbanding lelaki.

"Kita hanya melihat tahap kelayakan dan kesihatan mereka yang bersesuaian untuk diterima masuk bagi menceburi bidang penerbangan," katanya.

Menurut beliau, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TUDM meningkatkan keperluan pengambilan juruterbang muda termasuklah menerusi penerimaan pelatih-pelatih penerbangan wanita ke arah peningkatan profesionalisme TUDM dan juga dunia.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, kursus asas penerbangan merupakan salah satu kursus yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental pada tahap tinggi dan komitmen tidak berbelah bagi.

Sehubungan itu, menurut Mohd Asghar, sistem latihan yang digunakan adalah terkini dengan menggunakan sistem latihan penerbangan simulator atau 'flight training device' sebagai persediaan kepada pelatih sebelum menjalani latihan penerbangan sebenar.

Tambah beliau, juruterbang TUDM dinasihatkan sentiasa bersedia untuk menjadi juruterbang operasi berstatus 'combat ready' bagi menghadapi pelan pembangunan TUDM 2055 atau RMAF CAP55.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!