Waspada beriadah di pantai pada musim tengkujuh
KEMAMAN - Orang ramai khususnya pengunjung dari luar daerah Kemaman diingatkan supaya lebih berwaspada ketika melakukan aktiviti pantai atau beriadah di kawasan itu sepanjang musim Monsun Timur Laut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ia bagi mengelak insiden tidak diingini susulan kejadian kanak-kanak nyaris lemas yang berlaku di daerah berkenaan pada petang Jumaat.
"Mereka yang berkunjung ke kawasan itu perlu lebih peka terhadap perubahan cuaca dan menitikberatkan aspek keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
"Mangsa kini dirawat di Hospital Kemaman dan telah stabil," katanya dalam kenyataan disini, pada Sabtu.
Menurut Hanyan, kanak-kanak berusia 12 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh seorang lelaki yang berada di lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah bot.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis meminta lelaki yang menyelamatkan kanak-kanak nyaris lemas dalam kejadian itu tampi bagi tujuan siasatan.
Beliau memberitahu, sebarang pertanyaan atau maklumat boleh berhubung dengan bilik gerakan IPD Kemaman di talian 09-8592222.
Pada Jumaat, tular video berdurasi 52 saat memaparkan kejadian lemas melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Pantai Penunjuk Kijal, di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!