Pengusaha resort, tapak perkhemahan tingkat keselamatan
Aktiviti perkhemahan antara yang boleh dijalankan di The Lereng Adventure Camp and Resort, Ulu Chepor di sini.
Foto Ihsan The Lereng Adventure Camp and Resort
A
A
A
Pengasas The Lereng Adventure Camp and Resort, Nasaruddin Umar berkata, walaupun sepanjang 12 tahun mengusahakan resort berkenaan yang terletak di Ulu Chepor di sini, tidak pernah berlaku kejadian tanah runtuh, langkah-langkah keselamatan sentiasa dititikberatkan.
Menurutnya, langkah paling penting dilakukan adalah memastikan penyenggaraan tapak perkhemahan dan kawasan aktiviti dilakukan secara berkala sepanjang tahun.
"Perkara yang penting untuk kawasan rekreasi di lereng bukit ini adalah mengenal pasti jenis struktur tanah di sekitarnya. Jika kawasan berbatu, struktur lebih kukuh tetapi tetap kena lakukan kerja-kerja penyenggaraan.
"Sistem aliran air kena pastikan dalam keadaan baik kerana apabila air masuk dalam tanah akan menyebabkan struktur tanah menjadi lemah dan mengundang risiko. Sebab itu perlu kena ada longkang atau tempat aliran air yang baik," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau yang mempunyai pengalaman dalam bidang kejuruteraan awam berkata, resortnya masih beroperasi seperti biasa kerana tidak dikategorikan sebagai kawasan berisiko.
Namun katanya, perkara itu bukanlah alasan untuk sambil lewa terhadap aspek keselamatan di lokasi tumpuan pengunjung kerana bencana boleh berlaku pada bila-bila masa.
Sementara itu, Nasaruddin menasihatkan mana-mana pengusaha yang baharu terlibat dalam sektor perkhidmatan pelancongan seperti ini supaya menitikberatkan aspek keselamatan di resort atau tapak perkhemahan masing-masing.
Menurutnya, penyenggaraan kawasan tidak harus diabaikan kerana perkara itu amat penting untuk memastikan pengunjung selamat melakukan sebarang aktiviti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!