Isu pencerobohan nelayan asing dibawa ke Kabinet
KUANTAN – Isu pencerobohan perairan negara oleh nelayan warga asing akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam usaha penghapusan habis-habisan.
Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ini termasuklah cadangan kemungkinan untuk melibatkan Kementerian Pertahanan yang boleh menampung kekangan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).
Menurutnya, isu ini sudah sampai ke tahap maksimum di mana beliau tidak sanggup lagi mendengar keluhan dan aduan warga nelayan yang berhadapan persaingan dan terganggu dengan pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
“Saya melakukan rawatan rasmi serta sesi dialog bersama nelayan seluruh negara. Saya mendengar rungutan dan keluhan warga nelayan. Saya kasihan. Saya akan bawa isu kapal asing ini ke tahap maksimum kerana kita tidak boleh lagi berdiam diri.
“Kuasa Maritim di bawah Kementerian Dalam Negeri dan kita peka terhadap kekangan Maritim yang tidak cukup aset untuk mengekang bot tunda nelayan asing, justeru perlu campur tangan Kementerian Pertahanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ramah Mesra Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia bersama Nelayan di Pasar Nelayan Balok, di sini hari ini.
Salahuddin berkata, isu lain yang turut diberikan perhatian kementerian tersebut adalah berhubung elaun sara hidup nelayan sebanyak RM200 sebulan; pemberian subsidi petrol dan budi bicara memendekkan birokrasi dalam rantaian kuasa pemprosesan lesen.
Dalam lawatan kerja pertama beliau ke Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang itu, Salahuddin turut meninjau aktiviti pendaratan ikan di kompleks LKIM Kuantan sebelum bersarapan bersama nelayan setempat.
Sementara itu pada sidang media, Salahuddin mengumumkan sejumlah RM80,000 disalurkan untuk penambahbaikan Pasar Nelayan Balok bagi menggalakkan sosioekonomi sektor perikanan negara.
Katanya, penambahbaikan ini akan memendekkan rantaian penjualan hasil laut sekali gus merancakkan pendaratan di pasar nelayan tersebut.
Menurutnya ia bakal memberi faedah kepada 10 peniaga dan 300 pengunjung pasar tersebut.
"Pahang mempunyai enam pasar nelayan seluruh negeri. Daripada keseluruhan pendaratan ikan di Pahang pada tahun 2018, 50 peratus adalah sumbangan di daerah Kuantan.
"Trend pendaratan ikan di Pahang juga meningkat sebanyak 2.6 peratus dari 2017 ke 2018. Nelayan juga boleh menjual terus kepada pelanggan yang mana akan meningkatkan ekonomi mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!