Anwar uji sokongan, Muhyiddin hilang sokongan - Mahfuz

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan berani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan usul undi percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat, 19 Disember ini membuktikan beliau pemimpin yang berintegriti.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Anwar itu boleh memberikan keyakinan bukan sahaja kepada masyarakat, malah kepada dunia bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu seorang pemimpin yang sangat mementingkan ketelusan.

Beliau berkata, di saat negara menantikan natijah Anwar menguji sokongan untuk mendapatkan keabsahan sebagai Perdana Menteri, namun pada masa sama menyaksikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhadapan dengan undi tidak percaya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang mengisytiharkan keluar parti.

“Sekarang ini seluruh masyarakat sedang menantikan sidang Parlimen pertama di bawah kepimpinan Anwar.

"Rakyat teruja menantikan tindakan berani Anwar membentangkan usul percaya terhadap beliau untuk dapatkan keabsahan sebagai Perdana Menteri, walaupun telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri," katanya.

Mahfuz berkata, amat mengejutkan apabila Muhyiddin selaku Presiden Bersatu hilang sokongan daripada ahli partinya sendiri selepas empat Ahli Parlimen daripada Bersatu Sabah dan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Sabah serta dua senator meninggalkan parti tersebut.

“Kita sedang menantikan apa akan jadi kepada Anwar, apakah Kerajaan Perpaduan akan jatuh khususnya Anwar sendiri adakah akan hilang majoriti di Parlimen.

“Tiba-tiba Muhyiddin pula berhadapan dengan krisis kepercayaan daripada Bersatu Sabah yang diketuai Ketua Menteri Sabah sendiri. Ini bermakna Muhyiddin sedang berhadapan dengan krisis kepercayaan daripada dalam partinya sendiri,” ujarnya.

Mahfuz tegaskan, ini merupakan kali kedua Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berhadapan dengan krisis kepercayaan.

Artikel Berkaitan:

“Kali pertama ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan berhadapan dengan tindakan menarik sokongan daripada ahli-ahli Parlimen yang pada awalnya memberikan sokongan kepada beliau namun akhirnya menyebabkan beliau hilang kedudukan itu.

“Kini beliau sekali lagi hilang kepercayaan sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN,” katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan ulasan pemerhati politik, tindakan ahli Bersatu Sabah meninggalkan parti berkenaan disebabkan mereka tidak boleh menerima politik adu domba perkauman dan doktrin kebencian yang dibawa oleh PN.

“Agenda PN itu dibimbangi membawa kerosakan kepada keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Borneo, khususnya di Sabah.

"Amat malang kepada Muhyiddin untuk menyaksikan penarikan sokongan terhadap dirinya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir.

“Saya percaya PN sedang menantikan saat-saat keruntuhan mereka. Kita tunggu dan lihat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!