DBKL HT, MOHC-MHA buat perhitungan di final

DBKL HT (jersi putih) akan membuat perhitungan dengan MOHC-MHA di perlawanan akhir pada Ahad.
DBKL HT (jersi putih) akan membuat perhitungan dengan MOHC-MHA di perlawanan akhir pada Ahad.
A
A
A

PASUKAN Hoki Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL HT) dan Pasukan Hoki Melaka (MOHC-MHA) akan membuat perhitungan apabila kedua-dua pasukan bertemu di final Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) kategori wanita yang akan berlangsung pada Ahad.

DBKL HT yang juga juara bertahan mara selepas membelasah BNHC KL, 9-1 manakala MOHC-MHA menewaskan ATM Gladiator 6-3 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Sabtu.

Turun selaku juara kumpulan, DBKL HT nyata bukan tandingan walaupun BNHC KL terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Noorzubaidah Naszemi pada minit pertama perlawanan.

DBKL HT tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Fazilla Slyvester Silin meledak dua gol pada minit ke-3 dan ke-12 disusuli dua gol lagi daripada Iren Hussin minit ke-15 dan ke-21.

Pasukan ibu kota itu terus garang menambah gol menerusi Nor Izaidah Ibrahim minit ke-23, Nur Atira Mohaad Ismail (m-26), Fazilla Slyvester (m-33), Raja Norsharina Raja Shabuddin (m-35) dan Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun (m-37) untuk mengesahkan kemaraan ke final.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, MOHC-MHA turut mara dengan jaringan besar walaupun menerima tentangan sengit daripada ATM Gladiator.

MOHC-MHA bermula baik dengan lima jaringan dihasilkan pada suku pertama dan kedua menerusi Nor Syafiqah Mohd Zain pada minit ke-4, Liyana Aqilah Mohd Sapawi (m-10), Nurul Safiqah Mat Isa (m-12 dan m-17) dan Norshafiqa Ishak (m-20).

ATM Gladiator cuba memberikan tentangan dan berjaya meledak dua gol menerusi Izzuin Ismail pada minit ke-22 sebelum Rosmah Asrin menggandakan kedudukan empat minit berselang.

Artikel Berkaitan:

Namun, MOHC memadam usaha kebangkitan ATM Gladiator menerusi gol Nuraslinda Said pada minit ke-38 sekali gus membawa ATM Gladiator menempah pertemuan dengan DBKL HT sekali gus menjadi perlawanan akhir ulangan tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!