'Pemuda UMNO sambut baik dasar U-turn Kerajaan PH'
KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO menyambut baik keputusan kerajaan PH untuk meneruskan kembali projek Rel Pantai Timur (ECRL) yang sebelum ini diusahakan oleh kerajaan BN.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, 'dasar U-turn' kerajaan PH sejak akhir-akhir ini semakin konsisten dan tidak perlu malu untuk meneruskannya demi kemaslahatan rakyat terbanyak.
"Rakyat tentu sekali tidak dapat melupakan pelbagai fitnah dan tohmah dahsyat dilemparkan kepada kerajaan BN sebelum PRU14.
"Fitnah sedemikian hampir sahaja melumpuhkan projek ECRL yang hakikatnya mampu memanfaatkan jutaan penduduk di negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan sekaligus membuka pintu kemajuan yang berterusan kepada negeri-negeri tersebut," katanya menerusi satu kenyataan.
Asyraf Wajdi berkata, antara fitnah yang sering diulang-ulang termasuklah ECRL yang disifatkan sebagai satu pembaziran berskala besar dan tidak diperlukan, bahkan berbagai pengiraan tahyul ditularkan bagi memberikan justifikasi tohmahan ini.
"Pimpinan PH tergamak menularkan fitnah bahawa ECRL adalah projek jual negara kepada China dan disensasikan lagi dengan istilah 'Debt Trap Diplomacy' yang melanda negara Sri Lanka dan Pakistan.
"Paling dahsyat apabila mereka menuduh hampir 40 peratus atau RM26 bilion adalah rasuah dan digunakan untuk menutup hutang 1MDB serta membatalkan projek ini sebagai manifesto PRU14 mereka," ujar beliau.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua sandiwara yang didendangkan PH sebelum PRU14 sekelip mata dilenyapkan, malah kerajaan umpama wira baru negara apabila mengumumkan mereka berjaya merunding semula terma projek ECRL ini.
"Projek ini diteruskan dengan kos RM44 bilion iaitu kononnya RM21.5 bilion lebih 'jimat', walhal ianya hasil dari perubahan skala dan spesifikasi yang signifikan seperti bilangan stesen dan jajaran baru landasan berkenaan tanpa melibatkan pembinaan terowong.
"Persoalannya, ke mana dakwaan mereka selama ini tentang pembaziran dan rasuah Yangtze dilakukan oleh BN atas projek ECRL ini?," soal beliau.
Begitu juga dengan dakwaan PH yang kononnya kos sebenar projek hanyalah RM29 bilion dan selebihnya adalah rasuah, kini ternyata hanyalah fitnah jahat PH yang sehingga kini tidak dibuktikan kesahihannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Perjanjian ECRL kurangkan komitmen kewangan negara: Dr Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah memperakui kos sebenar ECRL setelah mengumumkan nilaian terbaru tanpa melibatkan pembinaan terowong yang melibatkan kos RM10 bilion.
"Antara terma perjanjian sampingan yang ditandatangani adalah CCCC memulangkan sejumlah RM3.1 bilion kepada Kerajaan Malaysia iaitu pendahuluan fasa dua melibatkan rel berkembar dan sambungan ke utara yang dibatalkan.
"Persoalan seterusnya, adakah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan menggunakan dana itu untuk ECRL atau perkara lain?," soalnya.
Justeru, Pemuda UMNO menggesa Kerajaan PH tidak lagi mempolitikkan projek ini dengan pelbagai fitnah terhadap kerajaan terdahulu demi meraih modal politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!