MoU: Pembangkang boleh bawa ke mahkamah jika tak setuju

Fadillah
Fadillah
A
A
A
KUCHING - Dakwaan perjanjian persefahaman kerjasama bagi membentuk Kerajaan Perpaduan sebagai tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator adalah tidak benar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, perjanjian persefahaman itu jelas menyatakan kesemua parti komponen dalam kerajaan masih boleh berunding sesama sendiri bagi mencapai kata sepakat.

Fadillah berkata, pihak pembangkang yang tidak bersetuju dengan perjanjian itu boleh membawa perkara berkenaan ke mahkamah untuk diputuskan oleh badan kehakiman.

"Dalam perjanjian itu menyatakan mana-mana pihak (kerajaan) yang tidak berpuas hati hendaklah berunding dengan semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, jadi kita berundinglah.

"Untuk memastikan wujudnya kestabilan politik, kita perlu memastikan tidak akan wujud undi tak percaya (kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kita ada tiga Perdana Menteri sebelum ini dan satu daripada sebabnya kerana isu undi tak percaya,” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Fadillah berkata, matlamat asas perjanjian persefahaman itu adalah untuk menjamin kestabilan politik yang akan memberi impak positif kepada rakyat dan ekonomi negara.

Katanya, beliau sendiri akan membentangkan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Beliau turut berharap, Kerajaan Perpaduan yang terbentuk akan bertahan sehingga tamat penggal serta memberi fokus ke arah urus tadbir negara yang baik.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataannya melontarkan dakwaan sedemikian serta menyebut perjanjian persefahaman berkenaan adalah haram, berbahaya dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, Klausa 4 perjanjian itu menyatakan kesemua Ahli Parlimen wajib menyokong Anwar dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional.

"Menurut Klausa 4(b) pula, sekiranya mana-mana Ahli Parlimen kerajaan yang gagal mengundi sebagaimana yang telah diarah, mereka akan dianggap telah mengosongkan kerusi Parlimen mereka berdasarkan Artikel 49A Perlembagaan Persekutuan,” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!