12 cedera, lori ATM langgar tembok tol
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, insiden yang berlaku pada 7.10 malam itu dipercayai berpunca daripada masalah brek.
"Pemandu dan tiga penumpang mengalami kecederaan parah, lapan penumpang cedera ringan manakala dua lagi tidak mengalami kecederaan," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori itu, yang dipandu oleh seorang anggota tentera berusia 25 tahun, sedang bergerak di lorong paling kiri ketika dipercayai mengalami kerosakan brek dan hilang kawalan sebelum merempuh tembok tersebut.
Ketika kejadian, lori itu dalam perjalanan dari Markas 1 Kompeni Angkut Kem Si Rusa di Port Dickson menghala ke Terminal One, Seremban.
"Kesemua parajurit baru menamatkan latihan asas ketenteraan dan dihantar ke Terminal One, Seremban untuk mereka pulang bercuti," katanya sambil menambah mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk menerima rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!