Tanah runtuh: ATM atur gerak anggota, aset bantu SAR

Seorang pegawai dan 30 anggota 25 RAMD diatur gerak setiap enam jam ke lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali.
Seorang pegawai dan 30 anggota 25 RAMD diatur gerak setiap enam jam ke lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengatur gerak anggota dan aset bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor.

Hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pertahanan pada Sabtu memaklumkan seorang pegawai dan 30 anggota Rejimen Ke-25 Askar Melayu Diraja (25 RAMD) diatur gerak setiap enam jam ke lokasi kejadian bagi membantu operasi itu.

Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat pula menerusi hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan pergerakan anggota dan asetnya telah bermula Jumaat selain bekerjasama dengan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Selangor seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya.

Setakat 9 malam Sabtu, sembilan mangsa masih hilang manakala 24 lagi disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!