Piala AFF: Layak final sasaran terbaik
PENTAS perlawanan akhir merupakan indeks petunjuk prestasi perlu ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada skuad Harimau Malaya apabila menyingkap saingan kejuaraan Piala AFF 2022 minggu depan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, sasaran mara ke final pentas kejuaraan berstatus Raja Bolasepak Asia Tenggara itu merupakan sesuatu yang positif agar ia diiringi kesungguhan seluruh pasukan Harimau Malaya.
Menurutnya, seharusnya badan induk itu meletakkan sasaran tinggi pada era semua pasukan di rantau Asia Tenggara kini berlumba-lumba memajukan pasukan masing-masing.
“FAM sebenar tidak perlu lagi meletakkan sasaran selamat untuk skuad negara yang dalam persiapan rapi mengharungi pusingan akhir Piala Asia tahun depan.
“Boleh sahaja kita meletakkan sasaran rendah seperti separuh akhir tetapi adakah itu pencapaian yang kita mahu untuk skuad kebangsaan yang sepatutnya telah diserap dengan elemen 'daya saing' yang tinggi dan padu.
“Sasaran tinggi setidak-tidaknya mara ke perlawanan akhir merupakan satu suntikan motivasi dan cabaran tinggi, namun ia bukan dianggap bebanan kepada para pemain negara, kalau di tahap serantau ini sudah dianggap bebanan, bagaimana kita nak berjaya di tahap Asia? " soalnya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Sukan Sinar pada Khamis lalu melaporkan saranan jurulatih berpengalaman tempatan, Wan Jamak Wan Hasan supaya sasaran skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon diletakkan pada tahap tinggi pada kejuaraan dwi tahunan tersebut walaupun dibarisi kebanyakan muka baharu kali ini.
Jelas Pekan lagi, sasaran tinggi juga perlu diletakkan biarpun tahu skuad berkenaan masih belum cukup mantap sekalipun mencatat keputusan positif dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives sebelum ini.
“Dua kemenangan ke atas Kemboja dan Maldives itu memberikan sedikit petanda bahawa skuad baharu negara ini boleh mengadun ramuan Kim Pan-gon dalam memberi saingan di pentas Piala AFF.
“Pada ketika ini kita dapat lihat keterujaan dalam kalangan para pemain baharu untuk menggalas cabaran negara di Piala AFF, jadi seharusnya sasaran tinggi seiring dengan keazaman mereka untuk membuktikan sesuatu kepada negara.
“Capai atau tidak capai sasaran pentas perlawanan akhir itu merupakan perkara kedua, yang penting sasaran ke final adalah yang relevan,” katanya.
Mengenai harapan para penyokong pula, Pekan tidak menafikan para pemain ke-12 negara meletakkan harapan tinggi kepada skuad Pan-gon di kejuaraan Piala AFF.
Namun tegas Pekan lagi, arena bola sepak Malaysia ini terdapat kelompok penyokong yang boleh dibahagikan kepada dua kumpulan penyokong iaitu yang membawa aura positif dan negatif.
“Ada penyokong yang positif dan menyedari kemampuan skuad kebangsaan berada di tahap mana berdasarkan situasi semasa dan kumpulan ini tidak mengkritik sembarangan.
“Satu kumpulan lagi yang agak negatif dan kalau Harimau Malaya menang mereka akan puji melangit tetapi apabila kalah akan menghentam bagai nak runtuh langit, itu saja.
“Jadi untuk kejuaraan Piala AFF 2022, dua kumpulan penyokong ini perlu memahami perkara asas bahawa skuad ini bukan skuad terbaik yang dapat dikumpulkan Pan-gon, namun saya percaya Faizal Halim dan rakan lain akan bermain sepenuh jiwa demi lencana serta maruah Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama Pekan meminta para pemain ke-12 negara untuk melihat pada sudut jangka panjang pembentukan skuad Harimau Malaya yang baharu ini.
“Kita perlu kembali kepada realiti bahawa Pan-gon kehilangan lebih 12 pemain tonggak Harimau Malaya sebelum pembentukan skuad baharu bagi cabaran Piala AFF.
“Di sebalik itu para pemain yang terpilih menggalas cabaran pasukan negara perlu menggunakan peluang bersaing dengan gergasi besar Asia Tenggara seperti Vietnam dan Thailand.
“Biarpun apa keputusan yang diraih skuad negara pada kejuaraan dwi tahunan itu nanti, setidak-tidaknya Pan-gon sudah memiliki pilihan pemain yang lebih besar untuk persediaan mengharungi pusingan akhir Piala Asia tahun depan berbanding sebelum ini,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!