Cuepacs, satu perjuangan tanpa henti
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat terkenal sebagai individu yang lantang menyuarakan tuntutan penjawat awam, antaranya kadar gaji minimum kepada RM1,800 untuk perkhidmatan awam.
Beliau berpengalaman luas dalam kesatuan sekerja dan memahami keperluan penjawat awam selain mahu memastikan sistem saraan baharu untuk perkhidmatan awam dilaksanakan segera.
Pada Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs yang berakhir 19 Disember ini di Shah Alam, Adnan berharap ia menjadi platform terbaik buat 1,732 perwakilan memberi maklum balas serta membawa suara penjawat awam di peringkat umbi untuk diangkat kepada kerajaan.
Ikuti temu bual eksklusif wartawan Sinar Harian, Diana Azis bersama beliau bagi mendapatkan
gambaran sebenar perjuangan Presiden Cuepacs itu serta harapannya dalam membela kebajikan penjawat awam.
SINAR HARIAN: Boleh terangkan penglibatan Datuk dalam Cuepacs?
ADNAN: Saya bermula dari bawah iaitu sebagai Naib Presiden pada 2004 hingga 2007 sebelum dipilih sebagai Timbalan Setiausaha Agung II (2007-2013); Timbalan Setiausaha Agung (2013-2016) dan Setiausaha Agung (2016-2019). Terkini, sebagai Presiden dari 2019 hingga 2022. Sepanjang dalam kesatuan, saya hanya mengisi kekosongan (jawatan), tidak pernah bertanding untuk melawan mana-mana penyandang. Apabila kerusi penyandang kosong, barulah saya bertanding. Dari segi tertibnya, begitu. Sejak 2004, saya terlibat secara langsung dalam barisan utama kepimpinan Cuepacs bagi setiap rundingan dengan kerajaan. Saya juga pernah berada di bawah empat kepimpinan Presiden Cuepacs bermula Dengan Datuk N Siva Subramaniam, Datuk Nordin Abdul Hamid, Datuk Omar Osman dan Datuk Azih Muda. Berdasarkan pengalaman ini, saya faham perjuangan Cuepacs tidak akan pernah terhenti. Biarpun pemimpin silih berganti, keutamaan adalah membawa suara warga penjawat awam agar kebajikan mereka ditingkatkan seiring dengan mutu perkhidmatan yang diberikan.
Apakah kejayaan yang telah dicapai oleh Cuepacs di bawah kepimpinan Datuk?
Sebagai Presiden Cuepacs ke-14 dan menjadi satu-satunya Presiden yang berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri, sudah tentulah cabarannya amat besar dalam membawa harapan penjawat awam. Apabila negara diuji pandemik Covid-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia satu cabaran baharu kepada Cuepacs ketika rakyat hilang pekerjaan, ekonomi lembap malah ada sektor terpaksa ditutup. Cabaran kita mengawal penjawat awam supaya tidak terkesan secara drastik dan mempertahankan apa yang kita terima sedangkan ia waktu sukar untuk kerajaan.
Cuepacs berjaya mempertahankan prinsip pembayaran gaji yang berterusan, walaupun bekerja dari rumah (BDR), gaji dibayar penuh. Kita juga membuat tuntutan dengan meminta kerajaan mempertingkatkan keselamatan golongan barisan hadapan supaya mereka selesa bekerja dalam risiko besar. Hasilnya semua ‘frontliner’ mendapat elaun khas. Cuepacs juga suarakan supaya memperkenalkan moratorium kepada rakyat yang bekerja di bidang swasta. Begitu juga dengan insentif yang diterima oleh penjawat awam melalui Bajet 2023, ia rundingan secara berterusan Cuepacs dengan kerajaan.
Bagaimana Datuk melihat penerimaan kerajaan terhadap isu-isu penjawat awam yang dibangkitkan oleh Cuepacs?
Pengalaman berada dalam pentadbiran empat Perdana Menteri dalam tempoh tiga tahun ini dan telah berunding dengan semuanya dalam pelbagai cara, saya berpendapat kerajaan sentiasa melihat perlunya ada penilaian semula berkenaan sistem penggajian, selaras dengan kehendak dan tuntutan Cuepacs. Kerajaan faham, cuma kena lihat dari segi situasi, sentimen semasa. Cuepacs terlibat menyediakan kertas kerja mengenai keperluan dan bentuk kebajikan penjawat awam supaya dapat diterjemahkan dalam bajet tahunan negara. Dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 November lalu, penjawat awam dapat kenaikan gaji tahunan khas RM100, bantuan khas kewangan, bantuan khas Aidilfitri dan sebagainya. Ini menunjukkan kerajaan menerima pandangan Cuepacs mengikut kemampuan semasa.
Bagaimana kepimpinan yang ingin dibentuk oleh Datuk dalam tempoh tiga tahun akan datang sekiranya terpilih sekali lagi?
Kita mahu kepimpinan ini disegarkan oleh mereka yang berbakat dan ada roh perjuangan khususnya generasi muda. Yang senior meneruskan kepimpinan, yang muda mengisi kekosongan. Saya ingin terus perjuangkan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,800 untuk perkhidmatan awam di samping memastikan kerajaan melaksanakan segera Sistem Saraan Baharu Perkhidmatan Awam yang kini masih mengguna pakai sistem saraan 20 tahun lalu. Cuepacs dan kerajaan perlu sama-sama dalam sesi libat urus atau rundingan supaya kedua-dua pihak mampu menyampaikan pandangan masing-masing. Kepimpinan Cuepacs perlu terus memastikan dasar atau pekeliling kerajaan mestilah mesra penjawat awam. Saya mahu menjadikan Cuepacs sebagai kesatuan sekerja yang dihormati dalam memastikan kebajikan penjawat awam ditingkatkan selaras dengan kualiti perkhidmatan. Tahun 2023 amat mencabar, saya mahukan kepimpinan Cuepacs terus membawa aspirasi dan suara penjawat awam agar kebajikan dan kualiti hidup selari dengan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat dan negara.
Apa harapan Datuk kepada seluruh perwakilan pada konvensyen kali ini?
Harapan saya, semarakkan semangat solidariti dan bangkit semula untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara. Cuepacs selamanya akan menjadi pejuang kebajikan pekerja. Gunakan platform konvensyen ini sebagai suara akar umbi yang perlu disuarakan kepada kepimpinan untuk dibawa perbincangan dengan kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!